News Update :
Home » , » Penjelasan Atas Perbedaan Antara Fana' dan Baqa' Dengan Ittihad dan Hulul

Penjelasan Atas Perbedaan Antara Fana' dan Baqa' Dengan Ittihad dan Hulul

Penulis : Bagus Rangin on 28 Maret 2014 | 09.48.00

(Maulana Sheikh As-Sayyid Muhammad Zakiyuddin Ibrahim r.a. dan Sayyidi Sheikhna As-Syarif Yusuf bin Muhyiddin Al-Bakhour Al-Hasani) 

oleh Al-Abd' Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qowiy Al-Qadir
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi
Pengenalan

Telah tersebar dalam kalangan awam, suatu kekeliruan yang terlalu halus, sehingga membawa kepada percampuran antara yang hak dan yang batil, sehingga sebahagian daripada mereka menggunakan perkataan-perkataan yang hak, dengan tujuan kebatilan.

Sebahagian daripada mereka menggunakan perkataan-perkataan sebahagian para sufi yang sahih, dengan maknanya yang batil, demi bertujuan mengikut hawa nafsu mereka, lalu muncul segelintir ahli ilmu yang tidak mendalami istilah-istilah kaum sufi dengan mafhum mereka sendiri, untuk menghukum secara mutlak, kesesatan para sufi secara menyeluruh.

Ia adalah berkenaan dengan ahwal para sufi yang kamil. Iaitu fana' dan baqa', yang mana, sebahagian orang-orang awam atau mendakwa sebagai sufi, padahal tidak pernah mengambil tarbiah sufi dari seorang mursyid yang kamil, menggunakan ungkapan-ungkapan para sufi yang muhaqqiq, dalam membicarakan tentang fana' dan baqa', lalu mengolah makna ungkapan-ungkapan tersebut kepada makna lain, yang membawa kepada fahaman hulul dan ittihad.

Tujuan penulis yang faqir ini menyusun tulisan ini (dengan bantuan Allah s.w.t.) adalah untuk membezakan pelbagai mafhum tentang beberapa isitilah tertentu, demi membezakan maksud sebenar golongan sufi yang kamil terhadap sesuatu perkataan dengan maksud yang batil terhadap perkataan tersebut, yang seterusnya dijadikan oleh orang-orang jahil sebagai fahaman mereka, lalu mengaitkan fahaman mereka dengan fahaman kaum sufi, sedangkan kaum sufi yang kamil berlepas tangan dari mereka.

Tulisan ini agak berat bagi mereka yang tidak mendalami ilmu-ilmu kalam, ilmu-ilmu mantiq, istilah-istilah tasawwuf itu sendiri, namun, ianya hanyalah sekadar suatu kajian yang lebih mendalam berkenaan asas kepada penulisan artikel "wahdatul-wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan", serta, sebagai pedoman untuk ahli ilmu dalam membezakan antara kaum sufi yang benar dalam perkataan dan pegangan mereka, dengan golongan yang bertopengkan sufi, tetapi melanggar syariat dan aqidah Islam.

Ia suatu perbahasan dalam membandingkan beberapa perkataan para ulama' dalam masalah ini, demi memberi peluang kepada para penuntut ilmu, menilai sendiri, masalah wahdatul-wujud ini, samada ianya suatu masalah yang objektif ataupun subjektif, lalu mereka lebih mampu menilai, samada melalui sejarah mahupun penyelidikan, tetang masalah yang sering dikaitkan dengan kaum sufi, berkenaan wahdatul-wujud.

Artikel "wahdatul-wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan" itu sebenarnya sudah cukup untuk menerangkan secara ringkas tentang wahdatul-wujud dalam kalangan sufi itu sendiri, tetapi artikel ini sebagai pelengkap bagi artikel yang pertama, untuk para pengkaji ilmu, untuk lebih mendalami perbahasan ini, melalui kaca mata para ulama' terdahulu dan terkini, agar lebih bersikap terbuka dalam membuat penyelidikan.

Niat penulis sekadar ingin memaparkan sebuah perbincangan yang lebih terbuka dalam penilaian terhadap masalah ini, dalam masa yang sama, ingin membezakan antara kaum sufi yang benar dalam pegangan mereka dengan golongan yang mencuri istilah-istilah kaum sufi lalu menyeludup fahaman-fahaman sesat di sebalik istilah kaum sufi yang masyhur. Ia juga bagi sebahagian penyelidik membuat "sekurang-kurangnya", suatu anjakan paradigma dalam menilai maksud wahdatul-wujud dan sebagainya, lalu membuat penyelidikan secara lebih terbuka. Ia tidak lebih daripada menghimpunkan beberapa perbincangan para ulama' dalam masalah ini, samada yang pro dan yang kontra, untuk membuat perbandingan lalu membuat kesimpulan berdasarkan kefahaman penulis yang serba kerdil lagi jahil ini.

Apa yang baik itu datang daripada Allah s.w.t. dan apa yang kurang itu dari kelemahan diri saya sendiri. Semoga Allah s.w.t. mengampuni penulis.

Bahagian Pertama:

Perbincangan Mengenai Mafhum Istilah-Isitlah Berkaitan

Al-Fana' dan Baqa':

Dr. Abdullah As-Syazuli berkata dalam buku (Al-Aqidah wa Al-Akhlak dalam tajuk nazhoriyyah al-fana'):-

"Hendaklah kita ketahui bahawa, kita tidak boleh mengatakan bahawa, fana' ini suatu unsur luar daripada Islam, lalu masuk ke dalam Islam, atau memahaminya dengan maknanya dari sudut bahasa, kerana maksud fana' dari sudut bahasa ialah ketiadaan secara mutlak, sedangkan yang dimaksudkan oleh kaum sufi tidak sedemikian. Dalam ayat Al-Qur'an, kita akan dapati banyak perkataan fana' ini digunakan seperti dalam Surah Ar-Rahman: 26 dan sebagainya…

"Rahsia di sebalik mengapa Allah s.w.t. sentiasa menyebut bahawa apa yang di sisiNya itulah yang kekal dan tidak akan musnah, kerana ingin menghalakan fokus para hambaNya kepada memandang dan mengharapkan hanya zat Allah s.w.t., nama-namaNya dan sifat-sifatNya…

"Begitu juga, ayat-ayat berkaitan dengan tawakkal, redha, pengharapan, melarikan diri (dari kecintaan kepada makhluk kepada kecintaan kepada Allah s.w.t.), Ikhlas dalam ketaatan, ihsan dalam ibadah dan sebagainya…menjelaskan tentang kesahihan perasaan dan hal fana' yang dimaksudkan oleh para sufi itu sendiri.

"Fana dalam kecintaan juga seperti berlaku kepada Saidina Bilal Al-Habsyi r.a. ketika disiksa oleh Al-Mughirah bin Syu'bah, dalam mempertahankan aqidah beliau…" (m/s75-76)

Oleh yang demikian, dapatlah kita fahami bahawa, fana' menurut kaum sufi adalah, suatu keadaan di mana seseorang lenyap dalam menyaksikan hanya Allah s.w.t., dan hanya menumpukan seluruh keinginannya kepada Allah s.w.t., sehingga sanggup mengorbankan dirinya demi keredhaan Allah s.w.t. dan tidak sibuk menyaksikan selain daripada Allah s.w.t..

Abu Ja'far Muhammad bin Ali bin Al-Husein r.a. berkata: "Sesiapa yang sudah merasai kelazatan murni agama Allah s.w.t., maka dia akan sibuk hanya dengan Allah s.w.t. daripada selainNya" (Sofwah As-Sofwah oleh Ibn Jauzi, 2/61).

Imam Al-Qusyairi pula membuat suatu ta'rif yang lebih umum dan meluas berkenaan dengan fana' ini iaitu: "menggugurkan sifat-sifat tercela dan baqa' pula adalah menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji" (Ar-Risalah Al-Qusyairiyah, bab Fana).

Hal ini jelas menunjukkan bahawa, fana' dan baqa' adalah dua perkara yang seiringan. Dr. Abdullah As-Syazuli menjelaskan bahawa, keterkaitan antara Fana' dan Baqa' adalah kerana, fana' itu adalah, seseorang menyaksikan dengan pandangan, dari bawah ke atas, iaitu melihat semua kebaikan dan ketaatan daripada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, sesiapa yang mendapati kadar yang pertama (fana'), maka dia akan mendapati yang kedua (baqa') sesuai dengan kadar pertamanya.

Bagi fana' itu pula, ada pelbagai peringkat, iaitu, fana'daripada sifat-sifat tercela, dengan bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji, fana' daripada makhluk iaitu dengan melenyapkan ketergantungan hati kepada para makhluk dengan menggantungkan pengharapan hanya kepada Allah s.w.t., fana' daripada diri sendiri, degan melenyapkan ketergantungan hati kepada diri sendiri, atau melenyapkan penyaksian terhadap diri sendiri, dengan menisbahkan amalan-amalan baik kepada diri sendiri, yang merupakan sifat ujub yang tercela.

Berkenaan dengan fana' daripada diri sendiri ini, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku, janganlah Engkau wakilkan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekadar sekerdipan mata sekalipun" (sahih Muslim dalam Syarah Imam An-Nawawi).

Imam Al-Qusyairi berkata berkenaan dengan jenis fana juga iaitu: "Sesiapa yang lenyap daripada menyaksikan kesan-kesan daripada makhluk (tidak melihat makhluk sebagai musabbib), maka dia kekal dengan sifat-sifat Allah s.w.t. (kekal menyaksikan sifat-sifat Allah s.w.t.)".

Pembahagian Keadaan Fana'

Dr. Abdullah berkata: "Fana' itu ada tiga jenis iaitu: fana' iradah dan ibadah. Kedua: fana' As-Syuhud, dan yang ketiga: fana' Al-Wujud (ini berkait rapat dengan masalah wahdatul-wujud).

Pertama: fana' iradah:

Adapun fana' iradah dinamakan juga oleh Imam Al-Junaid sebagai ikhlas dalam keikhlasan itu sendiri. Imam Al-Ghazali r.a. pula menamakan fana' ini sebagai fana' afaal (perbuatan). Ada dua jenis fana' iradah ini iaitu:

1) Fana' Ikhtiar pada perbuatan: Imam As-Suraij berkata, ia adalah lenyapnya pandangan para hamba terhadap perbuatannya (tidak melihat amalan ketaatan itu dinisbahkan kepada dirinya), kerana menyaksikan perbuatan Allah s.w.t. ke atas dirinya (dalam memberi hidayah dan kekuatan kepadanya untuk melakukan ketaatan tersebut), dan baqa' (kekal) dalam peringkat ini pul adalah, kekal melihat bahawa Allah s.w.t.lah yang sebenarnya menentukan perbuatannya sebelum dia melakukannya dengan bantuanNya. (Al-Luma' oleh Imam At-Thusi r.a., m/s 280)

2) Fana' daripada sifat-sifat mazmumah:

Iaitu, perjalanan nafsu seseorang itu berpindah daripada sifat-sifat yang tercela, menuju kepada sifat-sifat yang terpuji. Maka, fana' dalam bab ini adalah lenyap daripada sifat-sifat mazmumah dan baqa' dalam bab ini pula adalah bersifat dengan sifat-sifat mahmudah. (Dr. Abdullah m/s: 83-85)

Ini adalah fana' yang asas kerana di sinilah tempat penyatuan antara kehendak manusia dengan kehendak Allah s.w.t. melalui syariatNya, dengan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah dan mengamalkan segala tuntutan dan kewajipan syarak, serta meninggalkan segala laranganNya. Inilah proses merealisasikan ketaatan dan kehambaan. Setelah itu, seseorang sufi yang mengalami fana' akan menyaksikan semua ketaatannya daripada bantuan dan kehendak Allah s.w.t., lalu bersyukur kepada Allah s.w.t., seperti yang dibicarakan oleh Imam Al-Ghazali r.a. dalam buku Minhajul Abidin.

Di sinilah juga proses mujahadah seseorang hamba dalam menjalankan segenap ketaatan kepada Allah s.w.t. melalui syariatNya.

Fana' ini akan berpindah menjadi hal dan seterusnya menjadi maqam bagi golongan khawas dari kalangan sufi, apabila dia tidak lagi melihat ketaatan dan kebaikan dirinya daripada kekuasaan dirinya sendiri, tetapi melihat kepada perbuatan Allah s.w.t..

Kedua: Fana' Syuhud (pandangan)

Dr. Abdullah berkata: "Seseorang hamba yang merasai hakikat-hakikat penyaksian (syuhud) dinamakan sebagai musyahid (orang yang menyaksikan). Hakikat-hakikat yang tersingkap pula dinamakan sebagai musyahad (yang disaksikan)." (m/s118)

` Jelaslah bahawa, penyaksian atau musyahadah itu berlaku dalam proses penyingkapan terhadap hakikat-hakikat samada hakikat diri mahupun hakikat ketuhanan, sekadar yang diizinkan oleh Allah s.w.t., sehingga boleh membawa kepada lenyap daripada menyaksikan diri sendiri yang menyaksikan penyaksian tersebut.

Dr. Abdullah berkata lagi: "Tempat penyaksian (musyahadah) adalah di hati. Penyaksian hati juga bersandarkan dalil dari surah Al-Hajj: 46).

Adapun yang disaksikan oleh hati adalah makna-makna irfaniyyah (hakikat-hakikat keyakinan atau kelazatan iman).

Inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith Jibril berkenaan dengan maqam Ihsan, iaitu, bahawa kamu menyembah Allah s.w.t. seolah-olah kamu melihatnya.

Fasal: Wahdatus-Syuhud:

Dr. Abdullah berkata: "Adapun musyahadah itu ada jenis-jenis dan darjat-darjatnya. Adapun penyaksian makhluk pada Allah ialah suatu penyaksian terhadap sesuatu dengan dalil-dalil tauhid. Ia berkaitan dengan hubungan antara iman dan ihsan. Penyaksian kedua adalah menyaksikan Allah s.w.t. pada setiap makhluk, yang mana ia merupakan wahdatus-syuhud al-fi'liyyah. Ketiga: penyaksian kepada Allah s.w.t. semata-mata tidak ada langsung penyaksian kepada makhluk, yang mana ia merupakan wahdah-azzatiyah."

"Wahdatus-Syuhud (f'iliyah/ penyaksian kedua), iaitu, apabila seseorang melepasi darjat pertama dalam syuhud, lalu bertambah keyakinannya, bertambah hampirnya dia kepada Allah s.w.t., sehingga lebur penyaksian terhadap makhluk di sekitarnya, maka dia berpindah dari keadaan jam'u (berhimpun) kepada ain jam'u (kepada himpunan dalam himpunan), iaitu daripada yakin, kepada 'ainul yakin. Dalam keadaan ini, dia menyaksikan hanya perbuatan Allah s.w.t. yang berlaku pada seluruh makhluk.

"Imam Al-Ghazali menggunakan dalil daripada surah Al-Hijr: ayat 29 sebagai dalil bagi hal sedemikian." (m/s 134-136)

Sesungguhnya, dalam peringkat wahdatus-syuhud inilah selalunya para sufi yang tenggelam dalam lautan fana' akan tersasul ketika berbicara ( as-syatahat) sehingga orang-orang yang mendengar perkataan tersebut tersalah faham dengan as-syatahat tersebut sehingga menuduh golongan sufi yang tersasul dalam perbicaraan ini sebagai zindiq, lalu menisbahkan perkataan-perkataan sasulan (as-syatahat) mereka sebagai suatu fahaman hulul, ittihad dan wahdatul-wujud.

Jadi, golongan para sufi yang kamil, cuba membela para sufi sebelumnya yang dituduh sebagai berfahaman hulul dan ittihad, dengan maksud wahdatul-wujud tersebut, daripada as-syatahat (sasulan) mereka, lalu memalingkan maksud wahdatul-wujud tersebut kepada wahdatus-syuhud dengan memberi ta'wilan kepada as-syatahat mereka ataupun mengingkarinya sama sekali dalam masa yang sama, memaafkan orang yang beturut kerana tersalah cakap dalam keadaan yang tidak disengajakan.

Dari sinilah timbulnya golongan yang membezaka antara wahdatul-wujud dengan maksud wahdatus-syuhud dengan wahdatul-wujud dengan maksud hulul dan itithad. 


Adapun para ulama' yang membezakan antara dua wahdatul-wujud tersebut adalah seperti Imam As-Showi (syarh jauharatul tauhid m/s 142), Imam Ibn Wafa (dinukilkan oleh Imam As-Showi), Imam Al-Amir (Hasyiah Al-Amir 'ala Syarh Abdul Salam 'Ala Jauharati At-Tauhid m/s 59), Imam An-Nablusi r.a. (idhohul Maqsud), Sheikh Mustofa Bakri (Al-Maurid Al-Azb), Sheikh Abdul Qadir Isa (haqo'iq 'ani at-tasawwuf pada fasal wahdatul-wujud), Sheikh Yusuf Khattar Muhammad (Al-Mausu'ah Al-Yusufiyah pada bab Wahdatul-Wujud), Dr. Abdullah As-Syazuli (Al-Aqidah wa Al-Akhlak) dan sebagainya.

Artikel penulis bertajuk "Wahdatul-wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan" hanyalah simpulan daripada perkataan-perkataan ulama' tersebut dalam masalah ini, yang akan dibincangkan pada fasal-fasal seterusnya.

Fasal: Wahdatus-Syuhud Az-Zatiyah

Dr. Abdullah berkata: "Ini merupakan darjat tertinggi pada tahap syuhud kerana seseorang salik itu sudahpun sunyi daripada melihat makhluk dan perbuatan Allah s.w.t, tetapi dia sudahpun menyaksikan zat Allah s.w.t. dan kerajaanNya serta sifatNya dalam penyaksian.

"Ini merupakan suatu tajalli yang tertinggi, dalam hati seseorang, yang jarang berlaku ataupun jika berlaku sekalipun, tidak berterusan. Tiada nas dan sandaran yang jelas tentang syuhud az-zatiyah ini, dan kalaupun ada, Cuma berkaitan dengan penyaksian Rasulullah s.a.w. (seperti dalam tafsir At-Tabari 11/476).

"Peringatan: Tajalli Zat tidak bermaksud seseorang itu menyaksikan kunhu Allah s.w.t. kerana zatNya tidak diliputi oleh sekalian makhluk."

Penjelasan Tentang As-Syatahat (Salulan atau Tersalah dalam Pertuturan)

Sheikh Yusuf Khattar Muhammad berkata: "As-Syath ialah ungkapan-ungkapan sebahagian sufi yang masih belum sempurna, dalam keadaan mereka ghaib dalam menyaksikan Allah s.w.t. yang mana dia tidak merasai melainkan Allah s.w.t., yang mana perkataan tersebut, kalau orang yang berkata tersebut sedar daripada hal fana'nya, dia akan mengingkari perkataan tersebut. Hal ini bukanlah suatu keadaan yang dipuji oleh para sufi itu sendiri, akan tetapi, orang yang bertutur sedemikian, dalam keadaan sedemikian, dimaafkan kerana kewarasannya telah lenyap pada ketika itu. Namun, perkataan-perkataan tersebut tidak boleh diungkapkan oleh orang lain dalam keadaaan sedar.

Hal ini berlaku dalam hadith di mana seorang pemuda juga tersalah dalam bertutur kerana terlalu gembira lalu berkata: "Wahai Tuhanku. Aku tuanMu dan Engkau ialah hambaku" (hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Ini suatu ungkapan yang terkeluar kerana gembira terhadap kurniaan Allah s.w.t. sehingga tersalah cakap dalam keadaan tidak sedar. (Mausu'ah yusufiyah 2/433)

Sebahagian ahli ilmu yang bersikap sewenang-wenangnya menghukum sebahagian para sufi yang bertutur dengan perkataan-perkataan syatahat ini, padahal mereka tidak sengaja dalam bertutur mengenai perkataan tersebut, kerana lebur dalam menyaksikan keagungan Allah s.w.t., dengan menisbahkan aqidah mereka kepada hulul, ittihad dan wahdatul-wujud dengan makna yang batil.

Dalam perkembangan yang sama, sebahagian orang awam yang jahil terfitnah dengan perkataan-perkataan syatahaat tersebut lalu terus berpegang dengan zahir perkataan-perkataan tersebut sehingga mereka juga turut mendakwa dengan fahaman hululdan ittihad sedangkan para sufi terbabit tidak terlibat dengan fahaman tersebut, cuma sekadar tersalah cakap dan perlu dijauhi perkataan-perkataan mereka dalam hal sedemikian.

Golongan zindiq yang mengikut perkataan-perkataan syatahaat tersebut dengan makna zahirnya lalu berpegang dengannya, merekalah yang tercela sehingga melahirkan fahaman hulul dan ittihad. Beza antara segelintir sufi yang tersasul dalam pertuturan syatahaat dengan mereka yang mengikut syatahaat adalah, orang-orang yang tersasul tersebut tidak berniat untuk bertutur dengan perkataan tersebut, dan tidak bermaksud pun deengan perkataan-perkataan tersebut, melainkan kerana mereka hanya sibuk menyaksikan Allah s.w.t. ataupun terlalu gembira seperti dalam hadith sebelum ini, dan mereka dimaafkan kerana tidak sengaja, sedangkan golongan jahil yang bertutur dengan perkataan syatahaat tersebut secara sengaja, dan berfahaman dengan zahirnya, telah menyalahi aqidah Islam itu sendiri.

Oleh kerana itu, ramai ulama' seperti Imam As-Sya'rani, Imam An-Nawawi, Imam Al-Amir, Imam As-Showi dan sebagainya, cuba menta'wilkan syatahaat para sufi yang agung, supaya orang awam tidak memahaminya dengan makna zahirnya, kerana sesiapa yang mengikuti makna zahirnya akan tersesat dan terfitnah.

Asas-asas Menilai Syatahat Kaum Sufi

Sheikhu Sheikhina (guru kepada guru kami) Sheikh Abdul Qadir Isa berkata:

"Apa yang kami dapati dalam buku-buku kaum sufi, ada beberapa perkara yang mana zahirnya bercanggah dengan nas-nas syariah dan hukum-hukamnya, maka, ia ada dua kemungkinan:

Pertama: Perkataan-perkataan tersebut sengaja direka-reka oleh orang lalu dinisbahkan kepada mereka (kaum sufi), yang mana, perkataan-perkataan tersebut hanyalah perkataan rekaan golongan zindiq dan para pendengki agama Islam, bukan perkataan kaum sufi yang sebenar.

Hal ini seperti banyak berlaku dalam buku Al-Futuhat Al-Makkiyah yang dinilai oleh Universiti Al-Azhar, mengandungi banyak perkataan-perkataan palsu yang dinisbahkan kepada Ibn Arabi, padahal Ibn Arabi tidak terbabit dengan perkataan tersebut. Begitu juga yang berlaku kepada Imam As-Sya'rani di mana ada orang yang memasukkan perkataan-perkataan yang tidak pernah disebutnya, ke dalam bukunya, semasa beliau masih hidup lagi, sehingga terpaksa memberi keterangan kepada Universiti Al-Azhar pada ketika itu.

Kedua: Perkataan-perkataan yang mana boleh diberi ta'wilan kerana mereka (kaum sufi tersebut) bercakap dengan isyarat-isyarat, atau kiasan-kiasan atau majaz. Hal berkenaan dengan majaz ini sememangnya ada bahkan di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah pun terdapat sejumlah nas-nas yang memerlukan ta'wil, kerana zahirnya berbentuk kesamaran.

Hulul

Hulul-Aini:

Bahawa zat (hulul-aini zati) atau sifat Allah (hulul-aini sifati) kepada sesuatu. Ia termasuklah fahaman yang mendakwa, Allah s.w.t. bertempat dengan mana-mana tempat, ataupun sifat Allah mengambil tempat dalam mana-mana zat atau sifat makhluk, seperti fahaman golongan zindiq, golongan Kristian (trinity) dan sebagainya.

Ini adalah suatu kefahaman yang batil menurut seluruh ulama' Islam termasuklah para ulama' sufi sendiri, yang menolak fahaman ini (rujuk buku At-Ta'yiid dan Al-Hawi karangan Imam As-Suyuti dan sebagainya dalam masalah ini).

Golongan yang berfahaman ini secara tidak langsung akan berfahaman dengan fahaman ittihad antara zat Allah s.w.t. dengan zat makhluk, dan wahdat-'ainiain (kesatuan dua zat) yang sesat.

Hulul-Wasfi:

Hulul ini berkaitan dengan suatu pengiktirafan bahawa, segala ketaatan yang dilakukan oleh hamba tersebut, merupakan kesan daripada perbuatan Allah s.w.t. ke atas dirinya. Ini suatu kefahaman yang benar menurut hadith sahih riwayat Al-Bukhari berkenaan dengan "Jika Aku mencintai seseorang, maka Aku ialah penglihatan yang dia melihat dengannya…" Ibn Taimiyah menamakannya sebagai ittihad nau'i hukmi. (Dr. Abdullah As-Syazuli: m/s 207)


Ittihad

Ittihad ada dua jenis iaitu yang hakiki dan yang majazi (kiasan). Adapun ittihad (penyatuan) yang hakiki adalah: dua benda menjadi satu ataupun suatu benda menjadi suatu yang lain secara menyeluruh.


Hal ini tertolak samada dari sudut dalil-dalil naqli mahupun dalil-dalil akal. Adapun golongan yang mendakwa ketuhanan diri, seperti golongan bathiniyah, ataupun golongan Krisitian yang mendakwa ketuhanan Nabi Isa a.s., kerana Tuhan bersatu dengan makhluk, maka mereka adalah golongan yang sesat. Mustahil Allah s.w.t. yang bersifat Qadim bergabung dengan makhluk-makhluk yang bersifat baharu. Ini juga antara bentuk-bentuk fahaman wahdatuz-zat yang merupakan fahaman yang batil dalam masalah wahdatul-wujud.

Adapun selain daripada makna ittihad hakiki, ada juga ittihad kiasan, yang mana pada hakikatnya juga adalah dalam maqam syuhud (penyaksian), tetapi terkadang turut disebut dengan ittihad (secara kiasan) iaitu ittihad-tauhidi (hal seseorang fana' daripada merasai sekelilingnya, dirinya juga fana' daripada merasakan diri fana' itu sendiri yang mana Imam Al-Ghazali r.a. menyebutnya sebagai fana' fi at-tauhid) dan ittihad-wajdi (suatu keadaan di mana seseorang mabuk atau akalnya hilang dalam musyahadah Allah s.w.t.). Ini bukanlah termasuk dalam ittihad yang tercela kerana ia bukanlah suatu ittihad dengan makna hakiki yang batil.

Bahagian Kedua

Wahdatul-Wujud

Dr. Abdullah As-Syazuli berkata: "Sebenarnya, madrasah sufi berkenaan dengan masalah wujud ini, banyak orang yang salah dalam memahaminya, samada sengaja ataupun tidak. Sesungguhnya, hati orang-orang yang berbahas tentang ini (makna wujud menurut para sufi itu sendiri) tidak bersikap lapang (tidak berlapang dada), terutamanya seperti Ibn Taimiyah dan pengikutnya sehingga bersikap tidak mahu menilai para pendokong dalam masalah ini (dari kalangan sufi sendiri) dan tidak mahu memahaminya dengan kefahaman yang difahami oleh mereka (golongan sufi itu sendiri). Bahkan, golongan pengkritik tersebut berinteraksi dengan nas-nas mereka (para sufi) mengikut prasangka mereka sendiri, lalu mengambil sebahagian zahir daripada perkataan-perkataan mereka lalu terus menghukum tanpa membandingkannya dengan perkataan-perkataan mereka yang lain…

"Ada juga yang menyebarkan syubhat dengan mengaitkan perkataan-perkataan sebahagian sufi dengan perkataan-perkataan ahli falsafah Greek terdahulu lalu menghukum mereka (para sufi) dengan menyamakan perkataan mereka dengan perkataan wahdatul-wujud falsafiyah menurut Heroclates dan sebagainya padahal wujud perbezaan bezar antara keduanya.

"Sepertimana juga, sebahagian daripada mereka (yang mengkritik dalam masalah ini) tersalah dalam membincangkan masalah ini kerana seolah-olah Ibn Arabi adalah yang mula-mula berbicara tentang masalah wahdatul-wujud ini (bukan dengan istilah ini), sedangkan, kebanyakkan daripada masalah yang berkaitan dengannya telahpun dibincangkan terlebih dahulu oleh beberapa ulama' terkemuka sebelumnya seperti Al-Kalabazi dan Abu Tolib Al-Makki, lalu diperluaskan lagi perbahasan tersebut oleh Imam Al-Ghazali r.a. sehingga beliau sendiri secara jelas mengungkapkan perkataan wahdah yang lebih banyak daripada yang kami dapati dalam karangan Ibn Arabi itu sendiri. Ibn Arabi bagaimanapun hanyalah sekadar menghimpunkan, meluaskan, dan menyusun serta membuat sedikit penambahan terhadap apa yang pernah dibincangkan oleh ulama'-ulama' tersebut (Al-Ghazali r.a. dan sebagainya) sebelumnya.

"Seluruh pokok perbincangan dan perbahasan berkaitan dengan apa yang dikatakan sebagai wahdatul-wujud telahpun dibincangkan sebelum Ibn Arabi lagi, oleh yang demikian kami tidak tahu mengapa hanya Ibn Arabi yang diungkap sebagai berfahaman wahdatul-wujud lalu dikritik, namun tidak pula (mengkritik) Imam Al-Ghazali r.a. dan sebagainya (dalam masalah yang sama)." (Dr. Abdullah, Al-Aqidah wal Akhlak, m/s 261-262)

Sebenarnya, istilah wahdatul-wujud ini sendiri tidak pernah diperkatakan oleh para sufi terdahulu, tetapi ditimbulkan oleh sebahagian ulama' yang menghukum sebahagian para sufi hasil daripada menilai perkataan syatahaat mereka, ataupun istilah mereka yang tersendiri, lalu menuduh golongan sufi tersebut, sebagai golongan yang berfahaman wahdatul-wujud dengan maksud hulul dan ittihad kerana zahir perkataan mereka adalah seperti fahaman golongan zindiq yang berfahaman hulul dan ittihad tersebut, sedangkan, bukan itu maksud mereka sama sekali.

Pada hakikatnya, perkataan-perkataan samada syatahaat (tersasul) atau perkataan yang tinggi maknanya yang diungkapkan oleh para penghulu sufi, sekadar berkaitan dengan apa yang mereka hayati daripada wahdatus-syuhud semata-mata, samada dalam keadaan fana' (tidak sedarkan diri kerana lebur dalam menyaksikan keagungan Allah s.w.t.) ataupun dalam keadaan sedar (baqa') tetapi dalam bentuk majazi yang memerlukan kepada ta'wil.

Al-Allamah Muhammad bin Al-Amir berkata:

فإن وقع من أكابر الأولياء ما يوهم ذلك أُوِّلَ بما يناسبه كما يقع منهم في وحدة الوجود، كقول بعضهم ما في الجبة إلا الله، أراد أن ما في الجبة بل والكون كله لا وجود له إلا بالله،

Maksudnya: Kalau berlaku dalam (perkataan) pembesar-pembesar wali yang difahami daripada perkataan mereka (syatahat) secara waham dengan maksud sedemikian (hulul, ittihad dan sebagainya), maka dita'wilkan dengan makna yang bersesuaian dengannya (menurut syarak), sepertimana yang berlaku dalam kalangan mereka pada masalah wahdatul-wujud, seperti perkataan sebahagian daripada mereka: "Tiada dalam jubahku kecuali Allah", maka yang ingin dimaksudkan adalah: "tiada dalam jubah bahkan seluruh alam ini, tiada wujudnya melainkan dengan Allah s.w.t.." (m/s 59 percetakan Hallabi-Pattani)

Nah, ta'wilan yang dibuat oleh Al-Allamah Al-Amir yang bersesuaian dengan syarak, pada hakikatnya adalah makna sahih yang sememangnya ingin dimaksudkan oleh golongan sufi itu sendiri.

Lihatlah juga, di mana, para ulama' (seperti Al-Allamah Al-Amir) sendiri yang menggunakan istilah wahdatul-wujud dalam merujuk kepada beberapa perkataan (syatahaat) para sufi yang zahirnya perlu dita'wilkan (bukan para sufi itu sendiri), seperti perkataan Al-Allamah Al-Amir itu sendiri dengan berkata:

"…sepertimana yang berlaku dalam kalangan mereka pada masalah wahdatul-wujud, seperti perkataan sebahagian daripada mereka: "Tiada dalam jubahku kecuali Allah"…"

Pada hakikatnya, ta'wilan beliaulah menurut para sufi yang kamil, sebagai makna sahih bagi masalah wahdatul-wujud itu sendiri. Perbahasan ini akan dibahaskan dalam fasal berkenaan dengan makna sahih bagi wahdatul-wujud.

Seperti yang penulis tulis dalam artikel "Wahdatul-Wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan", di mana penulis menyimpulkan semula tulisan-tulisan ulama' sufi besar yang membela para sufi kamil terdahulu daripada fahaman hulul dan ittihad, samada dengan menta'wilkan perkataan-perkataan syatahaat mahupun menjelaskan maksud sebenar "wahdatul-wujud" jika ianya adalah suatu nama bagi mewakil ungkapan-ungkapan para sufi tersebut, iaitu (wahdatul-wujud) tidak lain melainkan wahdatus-syuhud juga.


Permulaan Zauqiyah (Perasaan)

Dr. Abdullah As-Syazuli menyebut:

"Perasaan para sufi meningka dalam proses penyucian dan mujahadah sehingga kepada tahap merasai kelazatan yang tinggi, sehingga sampai kepada tahap penyingkapan terhadap tajalli (penjelmaan) sifat-sifat maknawi. Peningkatan ini sehinggalah sampai tahap penyaksian terhadap sifat nafsiah bagi Allah s.w.t. iaitu wujud yang suci daripada sebarang batasan, dan kaifiyat, yang mana, dirasakan bahawa ia merupakan sumber kepada wujud-wujud selain Allah s.w.t., yang mana ianya tersemat dalam fitrah kemanusiaan itu sendiri.

Sesungguhnya, para arifin memahami masalah wujud dengan zauq (perasaan) mereka, yang tidak terbatas kepada merasai kelazatan kehampiran denganNya ataupun kelazatan cahaya-cahaya semata-mata, tetapi mereka juga merasai kelazatan dalam penyaksian wujud mutlak dan menghayati rahsia-rahsia wujud muqayyad (makhluk), dalam proses peningkatan kerohanian mereka menuju Tuhan mereka.

Orang yang mula-mula terkesan dengan hal ini ialah Al-Harith Al-Muhasibi (243H) ketika dia berkata: "Sesungguhnya, kecintaan itu adalah jalan penyingkapan akan rahsia-rahsia kewujudan" (Al-Luma': m/s255).

Tidak dapat dinafikan bahawa, kedapatan hati terhadap kewujudan ini berbeza daripada kedapatan pancaran-pancaran yang lain, kerana mendapati musyahadah Allah s.w.t. dengan sifat wujudNya dalam diri seseorang sufi itu lebih tinggi dan lebih sukar untuk diungkapkan dan diterjemahkan dalam bentuk perkataan. (m/s 256)

Kaum sufi yang fana' dalam menyaksikan wujud Allah s.w.t. ini akan lenyap daripada menyaksikan dirinya, sehingga Imam Al-Qusyairi r.a. berkata, bahawa Imam Ali Ad-Daqqaq berkata: "…Wujud itu membawa kepada keleburan bagi seseorang hamba…seperti orang yang lemas dalam lautan" (Ar-Risalah Al-Qusyairiyah m/s: 43)

Imam Al-Qusyairi berkata lagi: "Orang yang sudah sampai tahap fana' pada menghayati wujud Allah s.w.t. (yang mutlak) ini, akan ada dua hal iaitu sedar mahupun tidak. Adabila dia dalam keadaan sedar (menyedari hal sekeliling), maka hal dia tetap dengan Allah s.w.t., dan jika dia tidak sedar (tidak sedar wujud diri dan sekeliling), maka dia fana' dalam (musyahadah) Allah s.w.t… Inilah yang disebut dalam hadith,"maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya…" (hadith riwayat Al-Bukhari)" (Ar-Risalah Al-Qusyairiyah, ibid)

Apa yang jelas daripada ungkapan-ungkapan para ulama' sufi yang mutkabar, bahawa maqam fana' dalam menyaksikan wujud Allah s.w.t. ini adalah suatu proses musyahadah atau syuhud juga, tetapi lebih tinggi daripada menyaksikan sifat-sifat ma'ani Allah s.w.t. semata-mata, tetapi juga melihat sifat wujud Allah s.w.t. yang diungkapkan oleh mereka sebagai wujud mutlak.

Ia berkait rapat dengan maqam jam'u menurut kaum sufi itu sendiri, di mana ianya terhasil setelah musyahadah Allah s.w.t. melalui sifat-sifatNya.

Dr. Abdullah As-Syazuli berkata: "Adapun dalam batasan perbahasan ini, kita dapati perkataan-perkataan Imam Bakar At-Thusi dan Imam As-Siraj menjelaskan tentang hal jam'u iaitu, ianya suatu isyarat kepada (penghayatan bahawa) Allah s.w.t. sahaja (yang wujud) tanpa makhluk sebelum diciptakan makhluk dan tiada makhluk yang wujud (bersamaNya sejak azali). Adapun alam dan makhluk tiada wujud dengan berdiri dengan diri mereka sendiri, kerana mereka wujud antara dua ketiadaan (sebelum diwujudkan, mereka tiada, dan setelah kewujudan mereka, mereka terdedah kepada kebinasaan). Mereka (makhluk) adalah tafarruqah (pemisahan). Adapun sesiapa yang mendakwa jam'u sahaja (mendakwa hanya Allah s.w.t. sahaja wujud secara hakikat) tanpa tafarruqah (tanpa menetapkan hakikat bagi kewujudan makhluk secara realiti) maka bererti dia ingkar kepada kekuasaan Allah yang Maha Berkuasa (kerana menafikan makhluk secara mutlak bererti menafikan perbuatan dan sifat-sifat perbuatan Allah s.w.t.). Adapun tafarruqah (menetapkan kewujudan makhluk) semata-mata (lalai dengan makhluk) tanpa tamak (ingin menyaksikan wujud mutlak iaitu Allah s.w.t. dengan mata hati), bererti telah menderhakai Allah s.w.t. (kerana sibuk dengan makhluk sehingga tidak ada keinginan kepada Allah s.w.t. sama sekali).

"Adapun dalil jam'u (kewujudan mutlak Allah s.w.t.) adalah seperti firmanNya:

Allah menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), (Surah Ali Imran: 18)

"Dalil bagi tafarruqah (wujud makhluk yang muqayyad):

Allah Berfirman: para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). (Surah Ali Imran: 18)" (m/s 257)

"Adapun makrifat zauqiyah itu membakar yang ghaib, sehingga menzahirkan rahsia-rahsia dalam pandangan mata hati para arif, yang mana dari perbahasan inilah timbulnya perbahasan berkenaan wujud" (ibid)

Inilah penghayatan yang menjadi asas yan seterusnya melahirkan perbincangan berkenaan wahdatulwujud ini. Masalah wahdatul-wujud ini timbul sebenarnya takkala para sufi yang sudah sampai tahap sedemikian, mula bertutur dan berbicara tentang wujud, bersesuaian dengan zauq yang mereka rasa, dengan istilah-istilah yang tidak memberi maksud sebenar terhadap apa yang mereka rasa dan apa yang mereka cuba sampaikan, kerana semua orang tahu, bahasa hati dan perasaan ini lebih kaya daripada bahasa pertuturan.

Dr. Abdullah berkata lagi: Imam Al-Junadi dan Imam As-Siraj terhenti setakat penelitian akal dengan menyampaikan perbahasan-perbahasan dengan suluhan jalan tauhid, kerana sudah mencapat darjat tamkin (sudah kukuh dalam maqam baqa'). Namun, para sufi setelah beliau tidak mengikut pendirian kedua-dua Imam tersebut dengan berhenti daripada berbahas tentang zauq yang tinggi semata-mata, tetapi mereka cuba membahaskan zauq (perasaan) yang mereka rasai (syuhud) dengan proses penelitian akal, dengan istilah-istilah ilmu mantiq, ilmu kalam dan ilmu falsafah, yang tidak pernah dibahaskan secara demikian oleh Imam Junaid r.a..

Namun, Imam Al-Junaid ada menggariskan suatu manhaj dalam masalah wujud ini dengan menegaskan bahawa, hanya Allah s.w.t. wujud dan tiada yang besertaNya dalam wujud (secara qadim dan tersendiri, yang merupakan penyaksian dalam maqam jam'u), namun tetap meletakkan konsep kelaziman antara jam'u (wujud Allah s.w.t. yang mutlak dan satu-satunya) dan tafarruqah (wujud makhluk yang tergantung pada kekuasaan Allah s.w.t.), kerana kelaziman ini membawa makna penyifatan Allah s.w.t. dengan perbuatan-perbuatanNya dan keperluan makhluk kepada Allah s.w.t. sejak ia diciptakan dan untuk meneruskan kewujudan mereka. Inilah juga perkataan Imam As-Suraij. Namun, mereka tidak membahaskannya dengan menggunakan istilah-istilah ganjil yang beredar dalam istilah-istilah para ulama' kalam dan ahli falsafah.

Walaubagaimanapun, sebelum kehadiran ilmu falsafah dalam dunia Islam lagi, Imam Al-Muhasibi telah membincangkan idea tentang wujud dengan cara zauqi (bahasa perasaan). Bahkan, Imam Al-Junaid juga menghormati beliau dengan penghormatan yang tinggi, bahkan beliau (Al-Muhasibi) sendiri tidak pernah dituduh dengan sebarang pertuduhan oleh sebarang ulama'. Beliau sehingga membahaskan tentang kepentingan perbahasan wujud menerusi kaca mata agama dan Al-Qur'an.

Perkembangan dunia Islam semakin memuncak, sehingga para sufi yang muncul setelah zaman Imam Al-Junaid dan sebagainya, walaupun menghayati perasaan-perasaan yang hampir sama dari segi kaedahnya, seperti syuhud, fana', baqa', jam'u dan sebagainya, namun mereka juga terdedah kepada persekitaran yang rancak berbahas.

Namun, berbahasan mengenai wujud mula berkembang daripada sekadar perbahasan berbentuk zauqi (perasaan) yang dikongsi kepada mereka yang turut merasainya, sehingga perbahasan-perbahasan tersebut lebih terbuka dan lebih komlpeks, khususnya oleh Imam Al-Ghazali r.a., Imam Abu Tholib Al-Makki, Imam Ibn Arabi dan sebagainya.

Konflik salah faham dalam komunikasi berlaku apabila orang-orang yang tidak menghayati zauq golongan yang bertutur tersebut, tetapi sekadar mendengar lafaz pertuturan mereka semata-mata, maka dari situlah timbulnya kesamaran, sehingga ada yang sewenang-wenangnya menghukum mereka dengan zahir perkataan mereka, yang samada dalam keadaan syatahaat mahupun dalam ungkapan kiasan.

Dalam perkembangan itulah, golongan sufi yang membincangkan akan pengalaman-pengalaman zauqi mereka dalam lafaz-lafaz yang berunsur falsafah atau ilmu kalam, dikenali dengan sufi falsafi (golongan sufi yang berfalsafah). Bahkan, lebih daripada itu, ada yang turu mendakwa golongan tersebut sebagai golongan yang mengambil fahaman ahli falsafah Yunani dan agama Budha, padahal, apa yang mereka bincang sama masyrabnya (minuman kerohaniannya) dengan para sufi terdahulu seperti Al-Junaid, dalam perkara fana', musyahadah dan sebagainya. Mereka hanya dipersalahkan kerana ungkapan mereka berbaur falsafah kerana terkesan dengan istilah-istilah falsafah yang berkembang dalam dunia Islam di zaman mereka.

Sebahagian golongan pengkritik yang tidak bersifat terbuka, akan sewenang-wenangnya mengkafirkan mereka, termasuklah Ibn Arabi dan rakan-rakannya. Timbullah istilah wahdatul-wujud yang dilemparkan ke atas golongan sufi tersebut bagi mewakili beberapa perkataan-perkataan mereka yang dikatakan, pada zahirnya berunsur hulul dan itiihad.

Ungkapan: Wujud Makhluk Dengan Wujud Allah s.w.t..

Ada juga para ulama' yang menghuraikan makna sahih bagi wahdatul-wujud dengan makna kewujudan Allah s.w.t. itu tunggal dan seluruh kewujudan makhluk adalah dengan kewujudan Allah s.w.t..

Ramai orang yang mengingkari usul dan prinsip kaum sufi dengan makna ini sehingga menuduh mereka berfahaman wahdatul-wujud dengan maksud hulul dan ittihad, kerana tidak memahami maksud sebenar perkataan "dengan" dalam ungkapan para sufi tersebut. Mereka mendakwa, bahawa, yang dimaksudkan dengan perkataan "dengan" dalam pernyatan tersebut (iaitu kewujudan makhluk dengan kewujudan Allah s.w.t.) adalah "pada" iaitu, kewujudan makhluk pada kewujudan Allah s.w.t..

Ini suatu salah faham yang jelas, kerana para penghulu sufi apabila berbicara tentang perkataan "kewujudan makhluk dengan kewujudan Allah s.w.t.", maksud perkataan dengan tersebut adalah, dengan kekuasaan, dengan tadbir, dengan perbuatan dan dengan bantuan Allah s.w.t., bukan dengan makna selain daripada ini.

Adapun mereka mengembalikan sifat kewujudan mereka kepada kewujudan Allah s.w.t. merupakan suatu kiasan, kerana sifat wujud adalah sifat bagi zat Allah s.w.t. yang mana seluruh sifat-sifat lain, samada sifat salbiah, ma'ani dan maknawiyah serta sifat-sifat perbuatan Allah s.w.t. kembali kepada sifat zat Allah s.w.t. iaitu wujud. Jadi, mereka menyaksikan bahawa kewujudan mereka menumpang kepada kewujudan Allah s.w.t. kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., maka tiadalah yang menciptakan mereka dan tiadalah kewujudan mereka.

Lihatlah makna yang jelas seperti yang dilafazkan oleh Imam Al-Ghazali r.a. sendiri:

"Sesiapa yang kuat pandangan mata hatinya, maka keadaannya akan menjadi seimbang, di mana dia tidak lagi melihat selain daripada Allah s.w.t.. Dia tidak lagi mengenal selain daripada Allah s.w.t. (tidak fokus kepada yang lain-ini hal fana'). Maka, ketika itu dia mengetahui (bukan dengan pengetahuan akal semata-mata, tapi dengan penghayatan) bahawa tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t.. (Dia mengetahui) perbuatan dirinya merupakan kesan daripada kekuasanNya, yang mana ianya wujud daripadaNya. Maka, tiada wujud bagi perbuatan-perbuatannya kalau tanpaNya. Sesungguhnya wujud itu milik Allah s.w.t. semata-mata, yang mana denganNyalah, sekalian makhluk itu wujud. Sesiapa yang dalam keadaan ini, tidak akan melihat satupun perbuatan, melainkan dia melihat Pembuatnya yang hakiki (iaitu Allah s.w.t.)… " (Al-Ihya' tajuk As-Syauq)

Lihat juga perkataan-perkataan Imam Al-Ghazali dalam masalah ini dalam Al-Ihya' 3/74, 281, Al-Arba'in 244 dan Al-Misykat 52.

Para ulama' ahli kalam dari kalangan Al-Asya'irah juga tetap berpegang dengan kefahaman yang sama, walaupun dalam istilah yang berbeza.

Imam Al-Baijuri dalam hasyiyah 'ala jauharatit tauhid berkata:

"Adapun wujud bukan zati (bukan secara zatnya sendiri) adalah seperti wujud kita (makhluk). Maka, ia (wujud makhluk) adalah dengan perbuatan Allah s.w.t.." (Hasyiyah Al-Baijuri m/s 105)

Maksud ini jugalah yang dimaksudkan oleh para penghulu sufi ketika berkata: wujud makhluk denganNya (dengan Allah s.w.t.), iaitu dengan perbuatan dan bantuan Allah s.w.t..

Imam Ibrahim bin Ahmad dalam kitab toli' Al-Busyro juga berkata (dalam perbahasan sifat wujud Allah s.w.t.):

وجود الله ليس كوجود الحوادث، لأن وجود الله ذاتي له أي ليس بتأثير مؤثر وفعل فاعل، ووجود الحوادث بتأثير الله وفعله لأنه تعالى كان وحده ولا شيء غيره

"Wujud Allah s.w.t. itu bukan seperti wujud hawadith (makhluk yang baharu), kerana wujud Allah s.w.t. itu secara zatnya (berdiri dengan sendiriNya), bukan dengan sebarang pengaruh yang mempengaruhi, ataupun dengan perbuatan yang membuat, sedangkan wujud makhluk itu dengan pengaruh Allah s.w.t. dan perbuatanNya kerana Dia s.w.t. itu satu-satunya wujud tiada yang wujud selainNya (berkongsi hakikat kewujudan seperti kewujudanNya). "

Dalam kenyataan ini, Imam Ibrahim hampir mirip kepada kefahaman wahdatul-wujud yang diungkapkan oleh Ibn Arabi namun dalam bentuk yang berbeza (seperti yang digariskan dalam pernyataan beliau).

Namun, fokus kita di sin hanyalah kepada perkataan beliau: "wujud makhluk itu dengan pengaruh Allah s.w.t. dan perbuatanNya…"

Imam Muhammad bin Muhammad Al-Amir berkata dalam hasyiyah 'ala jauharatit tauhid:

"Wujud Allah s.w.t. secara zati (secara zatnya). Adapun wujud selain daripadaNya (iaitu makhluk), maka wujud mereka adalah perbuatan Allah s.w.t.." (hasyiyah Al-Amir m/s59).

Beliau berkata lagi:

"…sepertimana yang berlaku dalam kalangan mereka (para pembesar dari kalangan wali) pada masalah wahdatul-wujud, seperti perkataan sebahagian daripada mereka: "Tiada dalam jubahku kecuali Allah", maka yang ingin dimaksudkan adalah: "tiada dalam jubah bahkan seluruh alam ini, tiada wujudnya melainkan dengan Allah s.w.t.." (m/s 59 percetakan Hallabi-Pattani)

Istilah wujud dengan kewujudan Allah s.w.t., mahupun dengan perbuatan Allah s.w.t., mahupun dengan Allah s.w.t. dan sebagainya, merupakan istilah-istilah yang membawa petunjuk yang sama, yang cuba dimaksudkan oleh mereka yang mengungkapkannya termasuklah para sufi yang kamil.

Maka, orang yang memahami perkataan wujud makhluk dengan wujud Allah s.w.t. sebagai bermaksud: "zat makhluk pada zat Allah" dan sebagainya, maka mereka adalah golongan yang sesat sama sekali. Adapun golongan yang mengingkari para sufi yang kamil kerana memahaminya dengan makna ini juga adalah golongan yang tidak teliti dalam menilai sesuatu.

Ungkapan: "Tiada yang Wujud Kecuali Allah"

Adapun maksud perkataan: "tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t." dalam ungkapan para penghulu sufi, yang akhirnya diberi nama sebagai wahdatul-wujud, bukanlah seperti yang difahami oleh sebahagian para pengkritik mereka itu sendiri.

Sebahagian para pengkaji mengkritik ungkapan ini dan mendakwa ianya suatu kesesatan, kerana ungkapan ini menunjukkan bahawa, para sufi menolak kewujudan selain daripada Allah s.w.t. secara mutlak.

Hal ini tidak benar sama sekali!

Maksud ungkapan "tiada yang wujud kecuali Allah s.w.t." dalam ungkapan para sufi bermaksud: "tiada yang wujud secara hakiki kecuali Allah s.w.t..".

Orang-orang yang berinteraksi dengan ungkapan ini dengan bahasa golongan Mutakallimun (ahli ilmu kalam) pasti akan serta-merta menyalahkan perkataan ini, kerana ianya seolah-olah menafikan itniniyat al-wujud (ada dua kewujudan/dualisme wujud) iaitu wujud Allah s.w.t. yang qadim, dan wujud makhluk yang baharu, sedangkan menurut mereka (golongan mutakallimun), kedua-dua jenis kewujudan itu hakiki.

Hal ini seperti yang ditimbulkan sendiri oleh Imam Al-Amir ketika memahami ungkapan para sufi berikut dengan maksud, menafikan wujud selain daripada wujud Allah s.w.t. secara mutlak.

Al-Allamah Al-Amir menjelaskan:

وذهب بعض المتصوفة والفلاسفة إلى أنه تعالى الوجود المطلق، وأن غيره لا يتصف بالوجود أصلا

"Sebahagian para sufi dan ahli falsafah berpendapat bahawa hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mutlak sedangkan selain daripadaNya tidak bersifat dengan wujud sama sekali. " (Hasyiyah Al-Amir m/s 59)

Imam Al-Amir juga tidak membezakan antara sebahagian para sufi dengan ahli falsafah dalam masalah ini, kerana menurutnya, kedua-duanya (sebahagian para sufi dan ahli falsafah) berpendapat bahawa Allah s.w.t. wujud secara mutlak, sedangkan selain daripadaNya tidak bersifat dengan wujud sama sekali.

Apabila kita amati perkataan-perkataan para sufi dalam masalah ini, terutamanya dalam perkataan Ibn Arabi, yang terkenal sebagai pelopor wahdatul-wujud versi sufi, kita dapati bahawa, pada asasnya, apa yang difahami oleh paa sufi dalam masalah ini berbeza dengan apa yang difahami oleh ahli falsafah Yunani itu sendiri.

Sebahagian para sufi termasuk Ibn Arabi tidak pernah sama sekali menafikan sifat wujud dalam diri makhluk sama sekali, cuma menurut beliau dan para pengikut beliau, tiada wujud yang hakiki kecuali Allah s.w.t., dengan makna "wujud hakiki" pada istilah kaum sufi, bukan pada istilah para ulama' kalam (Al-Asya'irah).

Catatan kedua berkenaan dengan kalam Al-Allamah Al-Amir, iaitu perkataan kaum sufi: "hanya Allah s.w.t. sahaja wujud secara mutlak…" sebenarnya tidak menafikan kewujudan makhluk di samping kewujudan Allah s.w.t. yang mutlak, merana kewujudan makhluk adalah kewujudan yang muqayyad (bersandar atau tergantunng) kepada perbuatan Allah s.w.t., bukan tersendiri.

Timbulnya kekeliruan ini kerana golongan yang berinteraksi dengan ungkapan sufi tersebut dengan bahasa ahli kalam, tidak memahami maksud "hakiki" yang dimaksudkan oleh kaum sufi dengan makna menurut mereka (kaum sufi) sendiri tetapi mereka memahami maksud "hakiki" dengan mafhum menurut ilmu kalam semata-mata.

Yang dimaksudkan dengan "wujud hakiki" oleh para sufi adalah: wujud yang wajibul-wujud, iaitu, yang wujud secara hakiki dengan berdiri dengan sendirinya (qiyamuhu bi nafsihi), yang mana wujudnya itu secara zati dan tidak daripada suatu illah (sebab) luaran yang lain. (Imam Al-Ghazali r.a., al-ihya 4/74, Raudhah At-Tholibin 143, dan Misykatul Anwar 16-20)

Adapun "wujud hakiki" menurut para mutakallimun adalah, suatu kewujudan yang wujud secara realiti di luar daripada akal (persepsi), bukan semata-mata khayalan.

Para sufi bersepakat dengan para mutakallimun bahawa, jika wujud hakiki yang dimaksudkan adalah seperti kefahaman para mutakallimun, maka mereka (para sufi) juga mengakui wujudnya berbilang-bilang (at-ta'addud) kewujudan, iaitu, wujud Allah s.w.t. yang qadim, dan wujud alam yang baharu.

Golongan yang memahami wahdatul-wujud dengan makna, zat makhluk adalah zat wujud Allah s.w.t. sahaja yang menafikan berbilang-bilangnya (ta'addud) kewujudan, iaitu, dia menafikan sebarang kewujudan hakiki selain daripada Allah s.w.t. makna "wujud hakiki" menurut para ahli ilmu kalam.

Tetapi, apabila mereka berbicara tentang wujud hakiki menurut kefahaman mereka (para sufi) sendiri, maka mereka menafikan wujud hakiki selain daripada Allah s.w.t, dengan maksud, tiada yang wujud kerana zatnya (lizatihi) dengan dirinya sendiri (qo'imun binafsihi), terasing wujudnya (mustaqillun wujuduhu), wajibul-wujud (mustahil tiada) dan tiada illah (sebab atau faktor luaran) bagi kewujudannya, kecuali Allah s.w.t.. (Al-Ihya' 4/74).

Adapun selain daripada Allah s.w.t., maka mereka tidak wujud dengan diri mereka sendiri, tetapi wujud dengan berdiri kepada selainnya (qiyamuhu bi ghairihi). Kalau melihat hakikat diri mereka, (tanpa berdiri dengan selainnya iaitu Allah s.w.t.), maka tiada kewujudannya pada hakikatnya (secara mustaqil atau terasing). (Imam Al-Ghazali r.a., al-ihya 4/74, Raudhah At-Tholibin 143, dan Misykatul Anwar 16)

Kefahaman inilah yang disangka oleh sebahagian para pengkaji sebagai wahdatul-wujud lalu nama itu kekal, sehingga para sufi terkemudian menjelaskan maksud sebenar yang mereka dakwa sebagai wahdatul-wujud itu, tidak lebih daripada ungkapan terhadap wahdatus-syuhud para sufi, di mana mereka melihat hakikat, bahawa tiada yang wujud dengan diri sendiri, terasing dan mempunyai kuasa mutlak dengan diri sendiri kecuali Allah s.w.t..

Dalil kefahaman ini jelas sebagaimana dalam sabda Nabi s.a.w. yang berikut:

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sebenar-benar perkataan yang pernah diucapkan oleh sya'ir Arab adalah perkataan Labid iaitu:

Ketahuilah sesungguhnya semua benda selain daripada Allah ialah batil" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Maksud batil dalam hadith ini adalah, semua selain Allah s.w.t. tidak mempunyai wujud yang hakiki dan mutlak, tetapi wujud mereka hanyalah wujud yang merupakan anugerah daripada Allah s.w.t., yang tergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t.. Inilah dasar kaum sufi dalam mengungkapkan perkataan tiada yang wujud secara hakiki kecuali Allah s.w.t, dengan mafhum hadith tersebut.

Sesiapa yang memahami perkataan kaum sufi dalam bab ini dengan makna yang salah, lalu menolaknya, maka dialah yang seharusnya perlu lebih mengkaji secara lebih mendalam, kerana hadith yang disebutkan tadi ada mengandungi makna sebenar ungkapan kaum sufi tadi.

Beza kefahaman para sufi dalam masalah ini (wahdatul-wujud hasil daripada wahdatus-syuhud), dengan ahli falsafah Yunani seperti Plato dan sebagainya, yang juga membawa modul kesatuan-wujud dalam bentuk fahaman Idealisme/wahdatul-wujud falsafiyah (yang diperkenalkan semula oleh masyarakat Barat melalui filem Matrik), adalah, kaum sufi menetapkan wujud makhluk secara hakiki (dengan makna para mutakallimun, iaitu secara realiti) di luar akal (persepsi), seperti golongan Al-Asya'irah juga, sedangkan golongan falsafah Idealisme Yunani menafikan kewujudan di luar akal (persepsi) secara mutlak.

Golongan sufi, secara jelas menetapkan kewujudan makhluk di alam hissi (alam musyahadah) sedangkan golongan falsafah Yunani yang berfahaman Idealisme menolak kewujudan di luar akal (di luar persepsi) secara mutlak. Cuma, apabila para sufi berkata, tiada yang wujud secara hakiki melainkan Allah, bukan bererti menafikan kewujudan makhluk secara realiti di alam hissi, tetapi sekadar menafikan kewujudan selain Allah s.w.t. yang bersifat berdiri dengan sendirinya.

Sesiapa yang tidak memahami perincian dalam masalah ini, pasti tidak dapat membezakan secara jelas, antara wahdatul-wujud yang batil, dengan kefahaman para sufi yang menafikan wujud hakiki terhadap selain Allah s.w.t. yang turut diberi nama sebagai wahdatul-wujud.

Para ulama' Al-Asya'irah yang menyerang para sufi yang dikatakan sebagai pembawa wahdatul-wujud seperti Ibn Arabi dan sebagainya, menyamakan wahdatul-wujud golongan sufi yang sebenarnya suatu ungkapan terhadap wahdatus-syuhud semata-mata, dengan wahdatul-wujud falsafiyah yang dipelopori oleh ahli falsafah Yunani, padahal jika sesiapa yang mengambil mafhum sebenar tentang ungkapan-ungkapan para sufi berkenaan wahdatul-wujud daripada perkataan para sufi tersebut daripada para sufi juga, pasti memahami perbezaannya.

Hal ini jelas apabila Sheikh Sa'id Fudah (salah seorang daripada ulama' yang kami terlalu kagumi dan hormati, yang menjadi rujukan kami dalam Ilmu Kalam) sendiri melampirkan beberapa idea falsafah dalam masalah wahdatul-wujud ini, justeru mengaitkan semua makna wahdatul-wujud ini dengan wahdatul-wujud falsafiyah (golongan falsafah).

Sheikh Sa'id Fudah ketika menolak wahdatul-wujud secara mutlak, membuat suatu ta'rif dengan maksud wahdatul-wujud falsafiyah dengan berkata:

إن مذهب وحدة الوجود يعتبِرُ أن الوجود المتحقق هو الوجود الواجب فقط، ولا وجود للممكنات مطلقاً، فوجود الممكنات مستحيل في الخارج...

Adapun mazhab Wahdatul-wujud mengibaratkan bahawa, wujud yang hakiki adalah wujud yang wajib sahaja (iaitu Allah s.w.t.), dan tiada kewujudan bagi mumkinat secara mutlak. Adapun wujud mumkinat di luar persepsi adalah mustahil. (minahulwadud: 15)

Benar, ini wahdatul-wujud yang diperjuangkan oleh ahli falsafah seperti Plato dan sebagainya, tetapi Ibn Arabi, Sheikh An-Nablusi r.a. tidak terlibat dengan wahdatul-wujud dengan takrif tersebut, sedangkan Sheikh Sa'id Fudah turut mengkritik Ibn Arabi dan Sheikh An-Nablusi r.a. dengan takrifan wahdatul-wujud ahli falsafah ini. Ini menunjukkan, Sheikh Sa'id tidak membezakan antara wahdatul-wujud menurut Ibn Arabi dengan wahdatul-wujud menurut ahli falsafah seperti yang dijelaskan oleh Dr. Abdullah.

Lihatlah perkataan Imam Ibn Arabi dalam menunjukkan prinsip beliau yang tidak pernah menafikan kewujudan makhluk secara realiti di luar persepsi dengan berkata (dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra'):

" Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya. Tidakkah kamu mendengar sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi: "Maka Aku jadi pendengarannya yang Dia mendengar dengannya". Dia (Allah s.w.t.) menetapkan dirimu dengan menunjukkan dirimu dalam hadith tersebut. … Sesiapa yang membezakan dirinya dengan Allah s.w.t., maka dialah yang benar."

Dalam pernyataan Imam Ibn Arabi seperti yang digariskan, kita dapati bahawa, beliau bersandarkan kepada hadith riwayat Imam Al-Bukhari tersebut sebagai menunjukkan akan kewujudan dirimu (makhluk) dan tidak menafikannya sama sekali. Kalau Ibn Arabi dikatakan sebagai berfahaman wahdatul-wujud, maka jelaslah bahawa, wahdatul-wujud beliau tidak sama seperti wahdatul-wujud falsafiyah dan bukan juga wahdatuz-zat (kesatuan antara zat Tuhan dengan makhluk) kerana turut membezakan antara dirinya dengan Allah s.w.t..

Menurut kaum sufi, lawan bagi wujud hakiki (iaitu wujud Allah s.w.t.) bukanlah adam mutlak (tiada secara mutlak), tetapi lawan bagi wujud hakiki adalah wujud majazi (wujud kiasan). Hal ini seperti kita katakan, manusia berkuasa, dan Allah s.w.t. juga berkuasa, tetapi Allah s.w.t. berkuasa secara hakiki sedangkan manusia berkuasa secara majazi kerana kekuasaan manusia tetap daripada Allah s.w.t. dan dengan kekuasaan Allah s.w.t. juga. Begitu juga halnya dengan wujud, di mana, kewujudan manusia daripada Allah s.w.t. dan tidak terasing daripada kekuasaan Allah s.w.t..

Walaubagaimanapun, guru kami yang dihormati, Sheikh Sa'id Fudah tetap bersikap adil dengan menukilkan beberapa perkatan para ulama' Al-Asya'irah yang dikatakan memberi makna sahih berkenaan dengan wahdatul-wujud (yang dinisbahkan kepada para sufi) tetapi beliau menafikan bahawa ianya adalah makna sahih bagi wahdatul-wujud itu sendiri, tetapi ianya hanyalah sekadar ta'wilan bagi ungkapan-ungkapan yang berbaur wahdatul-wujud semata-mata.

Sedangkan bagi kaum sufi sendiri, ta'wilan mereka (menurut Sheikh Said tersebut) itulah sendiri makna sahih bagi wahdatul-wujud menurut kaum sufi itu sendiri.

Oleh kerana itulah juga, Dr. Abdullah As-Syazuli lebih menekankan bahawa, yang diungkapkan oleh para sufi bukanlah wahdatul-wujud (kesatuan wujud) sebagaimana yang didakwa oleh pengkritik-pengkritik mereka tetapi berkenaan dengan wahidiyatul-wujud (satu-satunya yang wujud secara hakiki). (m/s 270).

Menurut beliau, tidak syak lagi, kefahaman wahidiyatul-wujud para sufi (yang disangka sebagai wahdatul-wujud) ada sandarannya daripada nas-nas Al-Qur'an iaitu firman Allah s.w.t.: Maka (Zat yang demikian) Itulah Allah Tuhan kamu yang hak; Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)? (Surah Yunus: 32)

Yang demikian itu, Karena Sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan Sesungguhnya Dialah yang menghidupkan segala yang mati dan Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, (Surah Al-Hajj: 6)

Imam At-Tabari dan Imam Al-Qurtubi ketika mensyarahkan dan mentafsirkan ayat-ayat ini, menghuraikannya dengan apa yang disebutkan sendiri oleh para sufi itu sendiri (tafsir At-Tabari 7/453 dan tafsir Al-Qurtubi 4406/ 4648)

Wujud yang Esa: Satu-satunya Yang Berkuasa Melakukan Sesuatu

Maksud Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara hakiki menurut kaum sufi juga tidak lari daripada maksud hanya Allah s..w.t. sahaja yang berkuasa melakukan apa sahaja yang diinginiNya. Hal ini jelas seperti dalam surah Al-Hajj ayat 6 yang dinukilkan sebentar tadi.

Adapun kewujudan para makhluk yang mumkin, maka ianya merupakan anugerah daripada Allah s.w.t., bukan daripada diri mereka sendiri.

Allah s.w.t. berfirman:

Katakanlah: "Allah adalah Maha Pencipta segala sesuatu dan Dia-lah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". (Ar-Ra'du: 16)

Maksudnya, setiap makhluk yang wujud, merupakan natijah daripada penciptaanNya terhadap makhluk-makhluk tersebut, sedangkan Allah s.w.t.-lah yang Maha Esa (wajibul-wujud atau wujud hakiki istiqlali) lagi Maha Perkasa (berkuasa dalam melakukan apa sahaja yang diinginiNya).

Asas pada penyaksian kepada wahidiyatul-wujud bermula setelah seseorang itu menghayati tauhidul af'aal (iaitu semua perbuatan daripada perbuatan Allah s.w.t.) yang mana, hanya Allah s.w.t. yang Maha Esa dalam perbuatan-perbuatanNya, dan dalam memberi pengaruh kepada sekalian makhluk. Proses penghayatan ini akan terus meningkat sehingga terangkat daripada pandangannya akan kathrah (banyak kewujudan) sehingga terealisasi pandangan hanya kepada yang Maha Esa. (Al-Arba'in 152 dan Raudhatu At-Tholibin m/s 142).

Di sini jelas, wahidiyatul-wujud atau wahdatul-wujud pada pandangan kaum sufi, saling berkaitan dengan wahdatus-syuhud, kerana golongan yang cuba memisahkan antara wahdatul-wujud (dengan maksud wahidiyatul-wujud) dengan wahdatus-syuhud sebenarnya telah terjerumus dalam kekeliruan kerana tidak dapat membezakan antara wahdatul-wujud falsafiyah dengan wahdatul-wujud versi Ibn Arabi dan seangkatan dengannya itu sendiri.

Dr. Abdullah kemudian berkata: "Jelaslah bahawa Imam Al-Ghazali yang menggunakan maksud wahdatul-wujud yang sebenar sebelum kewujudan Ibn Arabi, dengan maksud, wahdatul-fa'il Al-Mujid (kesatuan yang Maha Pembuat dan Maha Pencipta). (Dr. Abdullah As-Syazuli m/s 271)

Iaitu, bahawasanya, setiap makhluk yang pelbagai ini, berasal daripada satu asas iaitu penciptaan yang merupakan perbuatan Allah s.w.t.. (Dr. Abdullah, ibid)

Inilah juga yang cuba diketengahkan oleh Jalaluddin Ar-Rumi ketika cuba menafikan itnaniyah (dua kewujudan hakiki) di mana yang ingin dimaksudkan ialah, menafikan sebarang Al-Fa'il Al-Hakiki (Pembuat yang Hakiki) selain daripada Allah s.w.t.. (ibid m/s 272)

Dr. Abdullah berkata lagi: maka, telah jelas bahawa wahidiyatul wujud (satu-satunya yang wujud) yang merupakan hakikat bagi zat Allah s.w.t., yang wajibul-wujud adalah makna fi'liah (perbuatan) dalam perkara-perkara mumkin (makhluk) (Dr. Abdullah: m/s: 273-274) seperti juga yang dijelaskan oleh Sheikh Ad-Dawani juga ketika mensyarahkan Al-Aqo'id Al-Adhiyyah (Ad-Dawani m/s :31-32)

Ungkapan: Wujud Makhluk adalah Wujud Allah s.w.t..

Sebahagian golongan yang terkeliru dengan kefahaman para sufi dalam bab ini lalu menisbahkan ungkapan semacam ini kepada para sufi seperti Ibn Arabi dan sebagainya, serta-merta membuat andaian bahawa, maksud daripada ungkapan ini juga adalah, Ibn Arabi dan para pengikutnya menetapkan zat-zat makhluk adalah zat Allah s.w.t..

Ini suatu kesalahan yang jelas, kerana mafhum wujud yang digunakan oleh Ibn Arabi dan para pengikutnya dalam ungkapan mereka berlainan dengan mafhum wujud yang digunakan oleh golongan Al-Asya'irah.

Sememangnya, sebahagian golongan Al-Asya'irah menyatakan bahawa, wujud itu ialah 'ain maujud (atau zat yang wujud itu sendiri) sepertimana yang dikatakan oleh Imam Al-Asy'ari sendiri. Hasilnya, jika seseorang berkata: "wujud makhluk adalah wujud Allah s.w.t." menurut mafhum mereka, samalah seperti mengatakan bahawa, zat-zat makhluk adalah mazahir (penzahiran) bagi zat Allah s.w.t.. Ini sememangnya suatu perkataan yang zindiq jika sedemikianlah mafhumnya.

Sebahagian ulama' Al-Asya'irah pula menjelaskan bahawa, maksud wujud pada zat Allah s.w.t. itu adalah sifat yang diiktibarkan pada zat, yang mana, yang merupakan sifat zat.

Al-Allamah Isa Al-Ansari berkata dalam syarah Ummil Barahin (sifat wujud):

والوجود هو حال واجبة للذات ما دامت الذات غير معللة بعلة

Wujud itu keadaan yag wajib bagi zat selagimana zat (itu wujud), tanpa berfaktorkan/ bersebabkan dengan sebarang faktor atau illah (sebab).

Imam Ar-Razi pula berpendapat bahawa wujud itu bukanlah yang wujud itu sendiri, kerana ianya merupakan suatu perkara iktibari (yang difahami secara akal semata-mata).

Adapun mafhum wujud dalam ungkapan para sufi yang berkaitan dengan bab ini ialah, wujud itu hal bagi yang wujud, bukan yang wujud itu sendiri, seperti sebahagian pendapat para ulama' Al-Asya'irah juga.

Jadi, kalaupun memahami perkataan golongan sufi dengan perkataan "wujud Makhluk adalah Wujud Allah s.w.t." tidak pernah membawa maksud zat makhluk adalah zat Allah s.w.t., tetapi maksudnya: sifat wujud dalam diri makhluk itu, bukanlah suatu sifat wujud yang tersendiri dan terasing daripada pengaruh Allah s.w.t., tetapi wujud tersebut juga daripada Allah s.w.t., yang juga bersifat dengan Maha Wujud.

Seperti juga seseorang katakan, kekuasaan manusia daripada kekuasaan Allah s.w.t., dengan sekadar berkata: kekuasaaan manusia adalah kekuasaan Allah s.w.t.. Bukan bererti, kekuasaan manusia tersebut adalah hakikat kekuasaan Allah s.w.t., tetapi sekadar bermaksud: kekuasaan manusia adalah daripada kekuasaan Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t.-lah yang memberi kekuasaan kepada manusia untuk berusaha.

Pertuturan ini juga terlalu mudah dalam bahasa harian jika seseorang anak berkata: "duit saya ini, duit ibu saya", secara jelas si anak tersebut bermaksud: duitnya daripada duit ibunya juga.

Dr. Abdullah berkata dalam menjelaskan maksud ini: "Kewujudan itu dari sudut wujud itu sendiri adalah kewujudanNya itu sendiri. Adapun wujud itu takkala ianya berada di dalam makhluk-makhluk, maka ia merupakan kewujudan daripadaNya, bukan daripada selainNya." (m/s 275)

Seseorang yang cuba memahami ungkapan tersebut dengan makna yang lain, maka timbullah sikap cepat menghukum ataupun mengikut secara membuta-tuli sehingga sesat lagi menyesatkan.

Sesiapa yang mendakwa zat-zat makhluk adalah zat Allah s.w.t., maka itu merupakan fahaman hulul dan ittihad, bukan daripada kefahaman murni para penghulu sufi tentang wahidiyat al-wujud atau dikenali dengan wahdatul-wujud.

Kerana itulah, Allah s.w.t. apabila meniup roh ke dalam jasad Nabi Adam a.s., maka Allah s.w.t. menisbahkan roh kepada diriNya dengan berkata: daripada roh Kami", sedangkan yang dimaksudkan adalah, roh daripada ciptaan Kami. Nisbah kepada Allah s.w.t. samada merupakan nisbah "daripada" ataupun nisbah "isytirak" (perkongsian). Adapun yang difahami oleh ulama' ahlus sunnah termasuklah para sufi adalah, nisbah yang bermaksud "daripada", bukan nisbah "perkongsian" dengan Allah s.w.t..

Beza Antara Wujud Mutlak dan Wujud yang Muqayyad (Bersandar atau Bergantung kepada Sesuatu)

Perbahasan di sini hampir sama degan perbahasan tentang "wujud hakiki" sebentar tadi.

Para sufi juga membezakan antara wujud Mutlak iaitu Allah s.w.t. dengan wujud Muqayyad iatu makhluk, dengan menegaskan bahawa, kedua-duanya mempunyai hakikat tersendiri, dan tidak boleh disamakan ataupun disatukan. Ini jelas termasuklah dalam perkataan-perkataan Ibn Arabi sendiri (Al-Futuhat 1/48-49,154)

Para golongan ahli kalam mungkin terkeliru dengan maksud ungkapan perkataan para sufi "tiada wujud yang mutlak kecuali Allah s.w.t." lalu memahaminya dengan maksud: "selain daripada Allah s.w.t. tiada kewujudannya menurut para sufi, kerana bagi mereka, hanya Allah s.w.t. sahaja yang wujud secara mutlak".

Perkataan "wujud yang mutlak" ini sendiri berbeza dalam mafhum kaum sufi dengan para ulama' kalam, lalu, menyebabkan sebahagian para ulama' kalam menisbahkan mafhum yang tidak pernah dimaksudkan oleh para sufi itu sendiri sama sekali.

Wujud mutlak yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t. menurut kaum sufi, adalah wujud yang azali, yang berdiri dengan diri sendiri, yang tidak dipengaruhi oleh sebarang pengaruh luaran, dan sebagainya, seperti mafhum wujud hakiki di sisi mereka.

Namun, hal ini tidak menafikan wujud makhluk, kerana lawan bagi wujud mutlak bukanlah tiada secara mutlak (adam mutlak) tetapi wujud muqayyad (bersandar mahupun bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t..). Oleh yang demikian, selain daripada Allah s.w.t., semuanya wujud secara muqayyad.

Dr. Abdullah berkata: Adapun maksud Al-Wujud Al-Wahid (kewujudan yang Satu) merujuk kepada wujud mutlak iaitu wujud Allah s.w.t. yang azali. Ia merupakan suatu kewujudan yang satu pada zat, dari sudut wajib (wajibul-wujud) dan satu pada perbuatan dari sudut mumkin. (Dr. Abdullah m/s 282).

Untuk penelitian yang mendalam dalam masalah ini, seseorang perlu memahami apa itu wajib dan apa itu mumkin menurut hukum akal, seperti yang dibahaskan oleh para ulama' kalam. Jika tidak memahaminya, maka tidak mampu menghalusi permasalahan ini, hatta Ibn Taimiyah sendiri mendalami ilmu mantik (asas bagi ilmu kalam) walaupun dia sendiri mengharamkannya.

Namun, dalam ungkapan yang mudah, kesatuan wujud atau wujud yang satu dalam pandangan kaum sufi adalah, pada melihat hanya satu sahaja wujud yang wajib (mustahil ketiadaannya) dan hanya satu sahaja Pembuat yang hakiki pada makhluk-makhluk, iaitulah Allah s.w.t..

Jadi, dari sudut wajib pada hukum akal, hanya satu sahaja yang wujud iaitu Allah s.w.t. kerana hanya Dia sahaja yang wajibul-wujud dan jika dari sudut mumkin pada hukum akal pula, hanya Allah s.w.t. sahajalah Maha Pembuat yang hakiki, dan semua makhluk wujud daripada "penciptaanNya" yang merupakan perbuatanNya.

Namun, dalam penghayatan ini, para penghulu sufi termasuklah Ibn Arabi sendiri menggariskan had dan batasan antara kewujudan Allah s.w.t. dan kewujudan makhluk, di mana kedua-duanya berbeza secara mutlak, dan tidak boleh disamakan atau digabungkan.

Ibn Arabi berkata tentang pemisahan antara Tuhan dengan hamba:

"Seseorang hamba itu, walau setinggimanapun dia mendapat tajalli daripada Allah s.w.t., samada tajalli sifati atau tajalli zati dan merealisasikan kedua-duanya, maka dia tidak pernah sampai menjadi tuhan sama sekali. Begitu juga Tuhan s.w.t., walaupun Dia menghampiri para hambaNya dengan perbuatanNya dan rahsiaNya, mustahil Dia akan menjadi hamba. Natijahnya, Tuhan itu kekal sebagai Tuhan dan hamba pula sekadar hamba juga" (Al-Futuhat 1/217)

Ini menolak dakwaan kononnya kefahaman Ibn Arabi dan para pengikutnya membawa kepada hulul dan ittihad, dalam masalah yang sama, membatalkan golongan zindiq yang cuba menyandarkan fahaman hulul dan ittihad mereka kepada para sufi agung seperti Ibn Arabi.

Mereka yang sesat dengan mendakwa ketuhanan diri sendiri sehingga tidak mahu beramal dengan syariat, berdasarkan kefahaman hulul dan ittihad yang menurut mereka adalah fahaman tauhid, sebenarnya telahpun tersesat dan para sufi yang sebenar juga menolak fahaman mereka ini.

Para sufi yang kamil termasuk Ibn Arabi sendiri menyucikan Allah s.w.t. daripada tasybih, tajsim, takyiif, bertempat, dan sebagainya yang jelas menafikan fahaman wahdah-az-zatiyah (kesatuan antara dua zat).

Penggabungan Antara Wahdatul-Wujud As-Sahihah (dengan Makna Wahidiyatul-Wujud) dengan Usaha Hamba dalam Neraca Syariah

Telah tetap bahawa, dalam penciptaan, memerlukan kepada dua pihak iaitu yang Menciptakan dan yang diciptakan (makhluk). Wujud yang pertama ialah wujud yang mutlak iaitu Allah s.w.t. dan wujud yang kedua adalah wujud yang tergantung kepada pengurusan yang pertama iaitu Allah s.w.t..

Allah s.w.t. menjadikan makhluk dan menganugerahkan kehidupan kepada makhluk semata-mata sebagai anugerah kepada para makhluk tersebut, bukan kerana memerlukan makhluk-makhluk tersebut, dalam masa yang sama, seluruh makhluk tersebut memerlukan kepada Allah s.w.t. secara realitinya.
 
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis hewan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (Surah Al-Baqarah: 164)

Ayat ini menunjukkan bahawa, penciptaan makhluk adalah untuk menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, setiap makhluk mempunyai kewujudannya yang hakiki dengan bergantung kepada Allah s.w.t.. Maka, dalam ayat ini jelas menunjukkan, makhluk-makhluk ciptaan Allah s.w.t. wujud secara hakikat atau realiti di luar persepsi manusia.

Ahli falsafah Yunani yang menafikan kewujudan makhluk di luar persepsi akal secara mutlak adalah golongan yang tersesat, dan ia merupakan fahaman wahdatul-wujud al-falsafiyah, dan para sufi yang agung berlepas tangan daripada fahaman ini.

Segala ketentuan Allah s.w.t. dalam penciptaan makhluk-makhluk tersemat dalam mafhum qadha' dan qadar dan hikmah-hikmah yang tersimpan dalam perbuatanNya tersemat dalam mafhum sunnatullah.

Namun, pada hakikatnya, semua yang berlaku dalam kalangan makhluk adalah daripada "perbuatan Allah s.w.t.". Dari kefahaman inilah akhirnya, terkenal dengan ungkapan wahdatul-wujud, dari sudut kefahaman akal, dan wahdatus-syuhud dari sudut penghayatan hati.

Oleh yang demikian, kehendak Allah s.w.t. adalah satu-satunya kehendak yang hakiki dalam perbuatan-perbuatanNya mahupun dalam makhluk-makhlukNya, namun tetap diberi ruang oleh Allah s.w.t. kepada manusia dan jin, untuk berkehendak dan memilih, seterusnya melakukan usaha sesuai dengan izin Allah s.w.t. ke atasnya.

Usaha atau kasb yang diletakkan oleh Allah s.w.t. dalam kehambaan manusia dan jin kepadaNya, yang mana daripadanya melahirkan mas'uliyyah (tanggungjawab) ketaatan kepadaNya secara ikhtiyari, suatu skop yang perlu diraikan terutamanya dalam aqidah Al-Asya'irah yang merupakan aqidah Ahlus-sunnah, yang membezakan mereka dengan fahaman Jabbariyah. Ini jika dilihat dari sudut kehambaan diri seseorang manusia itu sendiri.

Seseorang tidak boleh menafikan kasb (usaha) dirinya lalu menyalahkan Allah s.w.t. dalam setiap keburukan kerana pada hakikatnya, sikap tersebut adalah sikap yang biadab di hadapan Allah s.w.t.. Golongan Jabbariyah terperangkap dalam kepompong ini sehingga sampai menyalahkan Allah s.w.t..

Dalam masa yang sama, golongan Ahlus-sunnah dan para sufi juga menetapkan bahawa, kasb atau usaha seseorang hamba tersebut juga datang daripada Allah s.w.t. secara hakikatnya, kerana kalau tiada izin daripada Allah s.w.t., maka seseorang tidak akan mempunyai sebarang usaha dan pilihan tersendiri.

Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t.:

Dan kamu tidak mampu (menempuh jalan itu), kecuali bila dikehendaki Allah. Sesungguhnya Allah adalah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Insan: 30)

Maka, ini juga membatalkan fahaman Qadariyah yang menafikan pengaruh Allah s.w.t. terhadap perbuatan dan ikhtiar makhluk-makhlukNya, kerana para sufi dan para ahlus-sunnah wal jamaah, walaupun menetapkan usaha bagi hamba-hambaNya, tetapi tidak sampai memisahkan terus usaha manusia tersebut daripada pengaruh kekuasaan Allah s.w.t. sebaliknya masih mengaitkan bahawa usaha manusia juga adalah dalam lapangan kehendak Allah s.w.t..

Namun, sebagai manusia yang lemah, yang tidak mampu memahami hakikat kelaziman antara usaha manusia dan kehendak Allah s.w.t., hendaklah dia terus berusaha sebagai hamba Allah s.w.t. dalam melakukan ketaatan kepadaNya, sebaik mungkin, dan berbaik sangka dengan Allah s.w.t., bahawa Allah s.w.t. sememangnya mentaqdirkan ke atasnya dengan ketaatan lalu mensyukuri nikmat tersebut.

Maka, seseorang hamba yang sejati adalah yang melaksanakan tanggungjawab kehambaan, sebaik mungkin, dengan melihat dari sudut kasb (usaha) yang diletakkan oleh Allah s.w.t. dalam diri mereka, dan membiarkan urusan kehendak Allah s.w.t. ke atas dirinya, kepada Allah s.w.t. semata-mata tanpa memikirkannya, lalu berbaik sangka kepada Allah s.w.t., dengan melakukan ketaatan kepadaNya.

Oleh yang demikian, dengan penghayatan wahdatus-syuhud dalam hati, wahidiyatul-wujud (atau wahdatul-wujud) dalam kefahaman akal, dan penghayatan ubudiyyah dalam diri sendiri, para sufi akan bermuamalah dengan Allah s.w.t. dengan zahirnya melalui syariatNya, dengan melaksanakan tugas-tugas ketaatan kepadaNya menurut syariatNya, dalam masa yang sama, bermuamalah dengan Allah s.w.t. secara batinnya dengan hakikat syariat itu sendiri dalam hati mereka, dengan menisbahkan semua ketaatan mereka kepada Allah s.w.t. lalu mensyukuri segala perbuatan Allah s.w.t. dalam dirinya.

Guru kami Sheikh Yusuf Al-Hasani berkata: "Para sufi yang kamil itu zahirnya pada maqam farq (dengan makhluk) tetapi hatinya tetap jam'u (hanya dengan Allah s.w.t.)".

Maqam jam'u dalam hati seseorang adalah, takkala menyaksikan kesatuan af'aal (perbuatan-perbuatan) Allah s.w.t. pada makhluk (wahdatus-syuhud) dan mengakui atau menghayati kewujudan Allah s.w.t. yang hakiki, sebagai satu-satuNya yang wujud secara terasing dan berdiri dengan diriNya sendiri, adapun selain daripadaNya hanyalah wujud dengan Allah s.w.t. (wahidiyatul-wujud atau juga dikenali dengan wahdatul-wujud).

Jika seseorang memahami makna wahdatul-wujud sebagaimana yang diisyaratkan oleh para penghulu sufi seperti Imam Al-Ghazali dan sebagainya, pasti dia akan menyaksikan kelaziman antara wahdatul-wujud dengan wahdatus-syuhud kerana kedua-duanya saling berkait rapat.

` Adapun jika seseorang memahami makna wahdatul-wujud dengan maksud, menafikan wujud selain daripada Allah s.w.t. secara realitinya, sepertimana fahaman wahdatul-wujud falsafiyah yang diperjuangkan oleh Plato, maka para sufi juga berserta mereka yang menolak fahaman wahdatul-wujud jenis ini, kerana ianya membawa kepada sia-sianya perbuatan Allah s.w.t. dalam makhluk, seolah-olah sekadar khayalan semata-mata, sedangkan penciptaan dan perbuatan Allah s.w.t. itu benar dan ada hakikatnya. Sesuatu yang ada hakikatnya pasti akan melahirkan sesuatu yang ada hakikatnya juga, iaitu makhluk-makhluk yang wujud secara realiti di luar persepsi itu sendiri.

Pemikiran Idealisme atau wahdatul-wujud falsafiyah ini (menurut ijtihad dan kefahaman penulis yang serba cetek ini) seakan-akan telah meresap dalam tulisan-tulisan seorang pemikir besar dari Turki, iaitu Harun Yahya (Adnan Octar) terutamanya dalam buku-buku beliau bekaitan masalah materialisime (atau kebendaan, sila rujuk buku keabadian masa dan sebagainya). Walaubagaimanapun, jasa beliau dalam bidang Islamisasi Ilmu Pengetahuan khususnya dalam bidang Sains adalah suatu yang perlu dibanggakan dan semua umat Islam berasa terhutang budi dengan beliau.

Adapun jika seseorang memahami makna wahdatul-wujud dengan makna wahdatuz-zat (kesatuan zat),iaitu, zat makhluk adalah zat Allah s.w.t., maka ia suatu fahaman yang terpesong daripada landasan Islam yang murni. Fahaman ini menular dalam sesetengah kelompok yang mendakwa diri mereka sebagai ahli hakikat atau ahli bathiniyah, sehingga mendakwa bahawa diri mereka adalah tuhan sifat, atau mendakwa diri mereka adalah tuhan jelmaan, sehingga mendakwa agar tidak lagi perlu beramal dengan syariat Islam. Ini suatu fahaman bid'ah yang sesat lagi menyesatkan, dan para sufi yang kamil berlepas tangan daripada fahaman ini.

Bahkan, para ulama' yang mengkritik fahaman wahdatul-wujud dengan makna ini, benar dalam kritikan mereka, bahkan para penghulu sufi juga berserta mereka dalam mengkritik wahdatul-wujud dengan mahfum wahdatuz-zat.

Wahdatul-Wujud Yang Dinisbahkan Kepada Kaum Sufi Suatu Kelaziman Daripada Wahdatus-Syuhud

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kefahaman terhadap wahidiyatul-wujud atau wahdatul-wujud dalam kalangan sufi merupakan suatu interpretasi mereka terhadap penyaksian hati mereka samada dalam hal jam'u (berhimpun dengan Allah s.w.t., iaitu tidak menyaksikan selain daripada Allah s.w.t.).

Sebahagian pihak cuba membezakan antara wahdatul-wujud dengan wahdatus-syuhud kerana ingin menolak secara mutlak apa sahaja yang dinamakan sebagai wahdatul-wujud, sedangkan tafsiran mereka terhadap wahdatul-wujud itu sendiri tidak menyeluruh, kerana sekadar memberi tafsiran wahdatul-wujud falsafiyah kepada hukum wahdatul-wujud secara keseluruhannya.

Sememangnya wahdatul-wujud falsafiyah yang menafikan wujud makhluk di luar persepsi bercanggah dengan wahdatus-syuhud para sufi, tetapi para sufi yang agung termasuklah Imam Ibn Arabi, Imam An-Nablusi, Imam Al-Ghazali r.a. dan sebagainya, tidak pernah membicarakan perkataan-perkataan yang membawa isyarat kepada wahdatul-wujud dengan mafhum wahdatul-wujud falsafiyah ini.

Dalam perkembangan yang sama, kefahaman wahdatuz-zat iaitu fahaman bahawa zat makhluk adalah zat Allah s.w.t., atau zat makhluk adalah jelmaan zat Allah s.w.t., atau zat makhluk adalah penzahiran daripada zat Allah s.w.t. dan sebagainya, yang merupakan fahaman hulul dan ittihad juga bercanggah dengan wahdatus-syuhud yang dipegang oleh para sufi yang kamil, kerana fahaman hulul dan ittihad tersebut membawa kepada fahaman tajsim, tasybih, menempatkan Allah s.w.t. dengan yang baharu, yang bercanggah dengan aqidah murni Islam.

Sedangkan, wahdatus-syuhud merupakan suatu penyaksian bahawa semua yang berlaku daripada perbuatan Allah s.w.t. dalam masa yang masa, merasai kewujudan diri (pada hal baqo') lalu melakukan ketaatan dan kehambaan sebagai adab bermu'amalah di hadapan Allah s.w.t., dalam masa yang sama, mengembalikan nisbah kebaikan setiap yang dilakukan kepada Allah s.w.t. sebagai tanda mensyukurinya.

Adapun wahdatul-wujud yang bermaksud wahidiyatul-wujud sememangnya natijah daripada pentafsiran terhadap wahdatus-syuhud dalam bentuk kefahaman yang murni. Di sinilah wahdatul-wujud para sufi yang kamil, (jika ingin menisbahkan apa yang mereka ungkapkan sebagai wahdatul-wujud), yang pada hakikatnya suatu kefahaman yang murni, lahir daripada penghayatan terhadap makna-makna hakikat dan kelazatan iman dan keyakinan.

Imam Al-Baijuri sendiri mengakui kelaziman wahdatus-syuhud denga wahdatul-wujud dalam permasalahan yang melibatkan para sufi dengan berkata:

"…Dan sebahagian manusia (iaitu para sufi) tidak menyaksikan pada selain Allah s.w.t. itu, akan kewujudan, maka ianya dinamakan disisi mereka sebagai wahdatul-wujud…" (hasyiyah Al-Baijuri m/s 105)

Makna Sahih (Bersesuaian dengan Syarak) Terhadap Wahdatul-Wujud: Antara Yang Menerima dan Yang Menolak

Hasil pertembungan dalam masalah terminologi (mustolah) ini, wujudlah pelbagai pendapat berkenaan dengan masalah istilah wahdatul-wujud ini. Padahal, perkataan "wahdatul-wujud" ini sendiri tidak pernah diungkapkan oleh para sufi itu sendiri, sebelum kurun ke6 hijrah. Ianya disebut oleh sebahagian pengingkar terhadap kaum sufi dalam beberapa ungkapan mereka, lalu menisbahkan apa yang mereka ungkapkan sebagai wahdatul-wujud.

Sheikh Sa'id Fudah sendiri mengakui bahawa, istilah wahdatul-wujud ini digunakan oleh para ulama' untuk menolak sebahagian perkataan-perkataan para sufi yang membawa maksud hulul dan ittihad, sedangkan para sufi sendiri tidak menggunakan perkataan wahdatul-wujud dalam merujuk tentang kefahaman daripada perkataan-perkataan mereka.

Sheikh Sa'id Fudah yang dihormati berkata:

وقبل ذلك كانت توجد إشارات إلى هذا المذهب

Adapun sebelum itu (sebelum kurun keenam hijrah lebih kurang), terdapat perkataan-perkataan yang mengandungi isyarat (petunjuk) terhadap mazhab ini (wahdatul-wujud). (minahul Wadud m/s 31)

Apa yang jelas, wahdatul-wujud pada mulanya hanyalah sekadar istilah yang diberikan oleh sebahagian ulama' dalam merujuk kepada sebahagian perkataan-perkataan para sufi yang mana selalunya dikaitkan dengan hulul dan ittihad dari sudut zahirnya, tetapi ramai ulama' yang memberi ta'wilan terhadap ungkapan-ungkapan tersebut, ataupun mengakui bahawa ia merupakan antara syatahat (salah cakap/sasulan) yang tidak perlu diikuti.

Perlu diingat, bahawa apa yang dikatakan sebagai ta'wil oleh para ulama' Al-Asya'irah tentang ungkapan-ungkapan para sufi yang berkaitan dengan masalah wahdatul-wujud inilah, pada hakikatnya merupakan makna sahih bagi wahdatul-wujud menurut para sufi itu sendiri.

Antara golongan yang memberi makna sahih bagi wahdatul-wujud ini adalah dari kalangan para ulama sufi itu sendiri, yang sebahagian daripada mereka telah penulis sebutkan dalam artikel "wahdatul-wujud:antara kebenaran dan kesesatan".

Antaranya adalah:

Imam Abdul Ghani An-Nablusi r.a. (1143 H) berkata dalam buku beliau Idhoul Maqsud, min ma'na wihdatil-wujud:

"Sesungguhnya, seluruh alam ini, walaupun berbeza jenis, sifat, bentuk dan rupanya, sebenarnya wujud daripada ketiadaannya ('adam) dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengan diri mereka sendiri. Bahkan, seluruh makhluk yang wujud, terus terpelihara wujud mereka dengan kewujudan Allah s.w.t., bukan dengen diri mereka."

Imam Mustofa Al-Bakri berkata dalam buku beliau Al-Maurid Al-Azb:

"(Wahdatul-wujud ialah:) dengan wujud Allah s.w.t. itulah, seluruh yang wujud terus wujud. Dengan sentiasa menyaksikanNyalah, ahli syuhud terus meningkat. Bahawasanya Dialah yang mendirikan langit dan bumi, sedangkan seluruh makhluk berdiri denganNya (dengan kekuasaanNya) secara realitinya."

Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi dalam muqoddimah Anwar An-Nabi menegaskan:

"Maknanya (makna wahdatul-wujud): Bahawasanya, wujud pada hakikatnya satu sahaja, iaitu bagi Allah s.w.t. semata-mata dan tiada yang bersekutu denganNya dalam hakikat wujud (qadim) tersebut. Maka, Dialah yang wujud secara mutlak (wajibul-wujud). Adapun kewujudan sekalian makhluk adalah kerana bersandarkan kepadaNya (kepada kekuasaanNya) dan kelangsungan kewujudan makhluk tersebut daripada pemeliharaanNya…Maka, kewujudan makhluk itu bersandarkan kepada kewujudan yang hanya milik Allah s.w.t., bukan kewujudan lain, kerana tiada yang wujud dengan dirinya (qiyamuhu binafsihi) melainkan Allah s.w.t… Sesungguhnya, wujud makhluk bukan daripada zat mereka sendiri, dan tidak dapat digambarkan bahawa seluruh makhluk berdiri dengan diri mereka sendiri…"

Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali r.a. sendiri berbicara tentang maksud wahdatul-wujud ini walaupun tanpa menggunakan lafaz tersebut, takkala mensyarahkan perkataan Labid dalam hadith tadi dengan berkata (Al-Ihya' di bawah tajuk At-Tauhid):

"Iaitu, setiap makhluk tiada berdiri dengan dirinya sendiri. Ia berdiri dengan selainnya (iaitu berdiri dengan kekuasaan Allah s.w.t.). Ia (makhluk) tersebut dari sudut dirinya sendiri adalah batil. Ini kerana, hakikatnya (hakikat makhluk) itu, dengan selainnya (iaitu dengan hakikat Allah s.w.t.),bukan dengan dirinya sendiri. Oleh yang demikian, tiada yang hak (benar) pada hakikatnya melainkan Allah s.w.t. yang Maha Hidup lagi Maha Mentadbir, yang tiada menyerupai sesuatu. Dialah yang berdiri dengan diriNya sendiri, sedangkan selain daripadaNya, berdiri dengan kekuasaanNya. Maka, Dialah Al-Haq dan selain daripadaNya adalah batil (pada hakikatnya)."

Sheikh Abdul Qadir Isa dalam buku Haqo'iq Ani At-Tasawwuf juga menjelaskan tentang makna sahih bagi wahdatul-wujud menurut para sufi:

"Adapun mereka (para sufi yang kamil) ingin maksudkan dengan wahdatul-wujud adalah: kesatuan wujud yang qadim lagi azali, yang hanyalah Dialah iaitu Allah yang Maha Benar. Tanpa syak lagi bahawa Allah s.w.t. itu Satu (wahid) yang suci daripada ta'addud (berbilang-bilang). Mereka tidak memaksudkan (daripada perkataan wahdatul-wujud) itu terhadap wujud ardhi (yang mendatang iaitu wujud makhluk) yang berbilang-bilang kerana wujud tersebut (wujud makhluk) baharu, dengan melihat daripada sudut bahawa wujudnya (wujud makhluk) majazi (kiasan) dan pada asalnya ia (makhluk) tiada (adami), yang tiada memberi mudarat dan manfaat. Makhluk seluruhnya bersifat dengan tiada jika melihat daripada sudut hakikat diri mereka seadanya, yang sentiasa terdedah kepada kemusnahan pada setiap detik jika dengan diri mereka sendiri seperti firman Allah s.w.t.:

‘@ä. >äóÓx« î7Ï9$yd žwÎ) ¼çmygô_ur 4
tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah. (Surah Al-Qashash: 88)

"Adapun yang menzahirkan mereka (daripada tiada) adalah ijaad (sifat perbuatan Allah s.w.t. yang menjadikan) dan yang menetapkan (yang memelihara) kewujudan mereka adalah imdaad (sifat perbuatan Allah s.w.t. yang memberi bantuan). Makhluk-makhluk tetap wujud dengan penetapanNya (dengan pemeliharaan Allah s.w.t.)…" (m/s 446)

Di samping itu juga, sebahagian para ulama' mutakallimun turut memberi makna sahih bagi wahdatul-wujud yang dinisbahkan kepada golongan sufi yang agung, samada dalam bentuk ta'wilan mahupun pembelaan.

شاع على ألسنة العوام: (الله موجود في كل الوجود)، وهو كلام صحيح في نفسه، لأن مفاده وحدة الوجود، لكنه غير لائق منهم، لإيهام الحلول، وتأويله أن تقول:

معناه أنه مع كل موجود، أي: لا يغيب عن موجود أصلاً، ومعيته معه معناها: تصرفه فيه وتدبيره له، معية معنوية لا يعلمها إلا هو...

Imam As-Showi berkata:

"Telah tersebar pada lidah orang-orang awam perkataan "Allah wujud pada setiap wujud". Ini merupakan suatu kalam yang sahih pada maksud perkataan itu sendiri, kerana maksudnya berkenaan wahdatul-wujud. Akan tetapi, tidak sesuai jika ianya lahir daripada mereka (orang-orang awam) kerana dikhuatiri mereka salah dengan memahaminya dengan maksud hulul (Allah menempati makhluk lain).

Adapun ta'wilya (ta'wil perkataan tersebut, bukan ta'wil maksud wahdatul-wujud) bahawa kamu katakan:

Maksudnya bahawa Dia (Allah) bersama dengan setiap kewujudan, iaitu, Dia tidak ghaib daripada sekalian yang wujud pada asalnya. Adapun kebersamaanNya bersama makhluk bermaksud: perbuatanNya pada makhluk, dan tadbirNya pada makhluk tersebut. Ia adalah kebersamaan yang maknawi, yang tidak diketahui hakikat kebersamaannya melainkan Dia…"

Hal ini jelas menunjukkan bahawa, wahdatul-wujud itu mempunyai maknanya yang sahih, di mana setiap pertuturan yang lahir daripada kefahaman wahdatul-wujud dengan makna sahih ini, ada ta'wilannya walaupun pada zahirnya boleh membawa kepada salah faham iaitu dengan maksud hulul, ittihad dan sebagainya.

Sheikh Sa'id Fudah (yang kami hormati lagi segani, dan semoga Allah s.w.t. memelihara beliau) sendiri berkata ketika mengomentar tentang perkataan Imam As-Showi dengan berkata:

إذن مصطلح وحدة الوجود عند الصاوي له معنى صحيح، وهو المعنى الذي وضحه الصاوي في تأويله للعبارة،

Oleh itu, mustolah (term) wahdatul-wujud di sisi Imam As-Showi mempunyai makna yang sahih, iaitu makna yang dijelaskan oleh As-Showi sendiri, iaitu ta'wilnya terhadap ibarat tersebut. (minahul Wadud m/s 35)

Seterusnya Sheikh Sa'id Fudah membuat komentar lain:

إذن، إذا قلنا أن لوحدة الوجود معنى صحيح، فإن هذا المعنى الصحيح راجع إلى أن الله تعالى مدبر لجميع المخلوقات، ومتصرف فيها، وعالم بها، ولا يعزب عن علمه أيُّ شيء في الوجود.
"Maka, jika kita katakan bagi perkataan wahdatul-wujud ini suatu makna yang sahih, maka makna sahihnya kembali kepada makna: "bahawa Allah s.w.t. mentadbir setiap makhluk, membuat perbuatanNya pada makhluk-makhluk, mengetahui tentang makhluk-makhluk tersebut, dan tiada yang terlepas daripada ilmu Allah s.w.t., dalam kalangan yang wujud." (ibid)

Tetapi, seterusnya, Sheikh Sa'id Fudah menafikan bahawa, makna sahih inilah yang cuba dimaksudkan oleh Imam Ibn Arabi dan Imam An-Nablusi, sedangkan menurut Dr. Abdullah As-Syazuli pula, dalam skop inilah beredarnya kefahaman wahdatul-wujud para sufi termasuklah Imam Ibn Arabi, kerana semuanya berkaitan bagaimana mereka menterjemahkan syuhud mereka dalam membahaskan tentang kewujudan.

Imam Al-Baijuri juga turut membuat kenyataan yang sama dalam hasyiyahnya dalam masalah yang dibincangkan oleh Imam As-Showi dengan berkata:

ومن اللفظ الموهم ما شاع على ألسنة العوام من قولهم: ((الله) موجود في كل الوجود) ففيه إشارة الى وحدة الوجود لكنه ممتنع لإيهام الحلول...

Antara lafaz yang penuh kesamaran, yang tersebar meluas pada peruturan orang-orang awam daripada perkataan mereka adalah: "Allah wujud pada setiap wujud". Maka, pada lafaz tersebut ada isyarat akan maksud wahdatul-wujud, tetapi ianya tertegah (untuk dituturkan oleh orang awam) kerana dikhuatiri akan membawa maksud hulul. (hasyiyah Al-Baijuri m/s106)

Dalam kenyataan Imam Al-Baijuri sebentar tadi, beliau tidak pun menolak wahdatul-wujud yang dikatakan terkandung dalam ungkapan tersebut, tetapi menegah akan ungkapan tersebut, daripada dituturkan oleh orang awam kerana dikhuatiri mereka akan memahaminya dengan makna hulul. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan pendirian Imam Al-Baijuri yang hampir sama dengan Imam As-Showi dalam masalah ini, iaitu, adanya makna sahih bagi wahdatul-wujud tetapi cuma tidak memberi makna sahih bagi wahdatul-wujud tersebut.

Al-Allamah Al-Imam Muhammad Al-Amir pula berkata dalam hasyiyahnya:
فإن وقع من أكابر الأولياء ما يوهم ذلك أُوِّلَ بما يناسبه كما يقع منهم في وحدة الوجود، كقول بعضهم ما في الجبة إلا الله، أراد أن ما في الجبة بل والكون كله لا وجود له إلا بالله، فالله يمسك السموات والأرض أن تزولا... وذلك اللفظ وإن كان لا يجوز شرعاً لإيهامه، لكن القوم تارة تغلبهم الأحوال، فإن الإنسان ضعيف إلا من تمكن بإقامة المولى سبحانه...
وبالجملة فالمقام العظيم لا تحيط به العبارة، والوجدان يختلف بحسب ما يريد الحق

Maksudnya: Kalau berlaku dalam (perkataan) pembesar-pembesar wali yang difahami daripada perkataan mereka (syatahat) secara samar dengan maksud sedemikian (hulul, ittihad dan sebagainya), maka dita'wilkan dengan makna yang bersesuaian dengannya (menurut syarak), sepertimana yang berlaku dalam kalangan mereka pada masalah wahdatul-wujud, seperti perkataan sebahagian daripada mereka: "Tiada dalam jubahku kecuali Allah", maka yang ingin dimaksudkan adalah: "tiada dalam jubah bahkan seluruh alam ini, tiada wujudnya melainkan dengan Allah s.w.t. Allah s.w.t. lah yang memelihara langit dan bumi, agar ianya tidak musnah…

"Adapun lafaz ini ("tiada dalam jubahku kecuali Allah") pada zahirnya tidak bersesuaian dengan syarak kerana kesamarannya, tetapi kaum sufi kadang-kala dikuasai oleh hal-hal (perasaan hatinya ketika fana', jama' dan sebagainya) maka manusia itu pada hakikatnya lemah, melainkan dengan bantuan kekuasaan daripada Allah s.w.t…

"Kesimpulannya, perbahasan ini merupakan suatu maqam yang agung, yang tidak dapat dirangkumi dengan sebarang ungkapan (ibarat), kerana dapatan hati itu berbeza-beza sesuai menurut kehendak Allah s.w.t.." (m/s 59 percetakan Hallabi-Pattani)

Ini merupakan suatu contoh komen yang adil daripada seorang ulama' ahli kalam, yang memahami punca sebenar masalah yang timbul berkenaan dengan wahdatul-wujud yang dinisbahkan kepada kaum sufi itu sendiri.

Berdasarkan huraian beliau sendiri, bahawa, perkataan wahdatul-wujud ini lahir daripada pihak luar daripada kaum sufi, yang melebelkan sebahagian ungkapan-ungkapan sebahagian para sufi dalam hal mereka dikuasai hal diri mereka sendiri (fana' dan syuhud), yang mana zahir dari perkataan-perkataan tersebut mengandungi kesamaran dan boleh membawa kepada makna hulul mahupun ittihad.

Dalam pernyataan Al-Allamah Al-Amir yang berikut: "…perbahasan ini merupakan suatu maqam yang agung, yang tidak dapat dirangkumi dengan sebarang ungkapan (ibarat), kerana kedapatan hati itu berbeza-beza sesuai menurut kehendak Allah s.w.t.." menunjukkan bahawa, perbahasan wahdatul-wujud di sisi kaum sufi berkait rapat dengan kedapatan hati (wajdan) yang merupakan tempat penyaksian, fana', jama' dan wahdatus-syuhud. Ini menunjukkan bahawa, menurut Al-Allamah Al-Amir sendiri, wahdatul-wujud pada kaum sufi berkaitan dengan wahdatus-syuhud mereka, bukan semata-mata kefahaman yang kosong daripada musyahadah seperti wahdatul-wujud falsafiyah di sisi kaum sufi.



Bukti jelas menunjukkan bahawa Al-Allamah Al-Amir mengakui wujudnya makna sahih bagi wahdatul-wujud di sisi para sufi ini dengan kenyataannya setelah itu:

ورأيت و أظنه من كلام ابن وفا: أن من أعظم إشارات وحدة الوجود، قوله تعالى (سنريهم آياتنا في الآفاق وفي أنفسهم حتى يتبين لهم أنه الحق...

Dan aku melihat, pada sangkaanku bahawa ianya adalah perkataan Ibn Wafa: bahawasanya antara tanda terbesar tentang wahdatul-wujud adalah firman Allah s.w.t. "Akan Kami perlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami pada alam semesta mahupun pada diri mereka sendiri, sehingga terjelas bahawa Dialah yang Maha Benar (yang hak)…"

Jadi, Al-Allamah Muhammad bin Al-Amir juga turut mengambil perkataan Ibn Wafa yang menunjukka dalil tentang wahdatul-wujud daripada Al-Qur'an tanpa menyanggahnya, membuktikan bahawa, menurut beliau, wahdatul-wujud jika dinisbahkan kepada kaum sufi, ada yang mempunyai makna yang sahih.

Seorang penulis bernama Puteh Ishak dalam buku beliau "Ibn Taimiyah: Sejarah Hidup dan Tasawuf berkata dalam masalah Ibn Taimiyah mengkafirkan Ibn Arabi dalam masalah wahdatul-wujud ini"

"Konsep Wahdatul-Wujud (yang dinisbahkan kepada Ibn Arabi) tidak bertentangan dengan nilai-nilai keislaman dan tidak sewajarnya ajaran tersebut dihukum sebagai sesat dan kafir sebagaimana yang dilakukan Ibn Taimiyyah" (Ibn Taimiyah: Sejarah Hidup dan Tasawuf, m/s: 252, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1993)

Makna Sahih Bagi Wahdatul-Wujud Adalah Kefahaman Terhadap Wahdatus-Syuhud Itu Sendiri

Sebahagian pengkritik menuduh penulis yang mengarang artikel "wahdatul-wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan" sebagai tidak mengetahui yang penulis tidak tahu, dalam masalah berkenaan dengan wahdatul-wujud lalu cuba mengelirukan orang-orang awam, padahal artikel tersebut merupakan sebuah simpulan yang ringkas dengan bahasa yang mudah, berkenaan dengan penelitian makna sahih dan makna batil tentang wahdatul-wujud yang dibincangkan secara panjang lebar dalam lapangan ilmiah oleh para ulama'.

Padahal, terlalu ramai dari kalangan ulama' yang menjelaskan bahawa, ada makna sahih (bertepatan dengan syarak) berkenaan dengan wahdatul-wujud ini jika dinisbahkan kepada para sufi. Antara para ulama' tersebut adalah seperti Imam Al-Ghazali r.a. sendiri yang mula membincangkan tentang wahdah secara meluas terutamanya dalam perbincangan melibatkan hal-hal kerinduan kepada Allah s.w.t., fana', syuhud, jama' dan sebagainya.

Begitu juga dengan ulama'-ulama' mutakhir yang membela wahdatul-wujud yang dinisbahkan kepada sebahagian penghulu sufi dengan memberi makna sahih kepada wahdatul-wujud tersebut, seperti Imam Mustofa Al-Bakri, Imam An-Nablusi, Imam As-Suyuti, Imam Mustofa As-Syarif, Sheikh Ahmad Farid Al-Mazidi, (guru kepada guru kami) Sheikh Abdul Qadir Isa, dan ramai lagi dari kalangan para ulama' sufi yang memahami istilah-isitilah kaum sufi dengan makna-makna menurut mafhum mereka sendiri.

Dalam masa yang sama juga, sebahagian ulama' mutakallimin turut membela wahdatul-wujud di sisi kaum sufi yang mulia, dengan memberi ta'wilan yang sahih atau makna yang sahih terhadap maksud wahdatul-wujud itu sendiri, dengan menta'wilkan ungkapan-ungkapan para sufi yang mengandungi isyarat wahdatul-wujud dengan ta'wilan yang sahih.

Mereka adalah seperti Imam An-Nawawi sendiri, Imam As-Showi, Imam Al-Amir, Imam Al-Baijuri dan temasuklah Sheikh Sa'id Fudah yang setuju dengan Imam As-Showi walaupun sekadar sebagai ta'wil sahih, bukan sebagai makna sahih, bagi wahdatul-wujud.

Adakah semua ulama' yang disebutkan tadi, dan ramai lagi ulama' yang memberi makna sahih bagi wahdatul-wujud di sisi kaum sufi, sebagai golongan yang tidak tahu diri mereka tidak tahu, atau golongan yang mengelirukan? Hasya liLlah…

Apa yang jelas, masalah wahdatul-wujud ini suatu perbahasan yang luas, bukan sekadar terhad kepada golongan yang memahaminya dengan makna yang sempit iaitu memahaminya dengan makna wahdatuz-zat (mendakwa zat makhluk adalah zat Allah) ataupun dengan makna wahdatul-wujud falsafiyah (makhluk tiada wujud di luar persepsi atau di luar akal), tetapi ada golongan yang memahaminya dengan makna wahidiyatul-wujud yang merupakan penafsiran terhadap wahdatus-syuhud dan kefahaman ketiga inilah merupakan kefahaman murni kaum sufi termasuklah Ibn Arabi dan para pengikut manhaj perbahasannya.

Pembatalan Golongan Bathiniyah Bertopengkan Wahdatul-Wujud Para Sufi

Dalam kesempatan yang sama, kita mengulangi kritikan-kritikan para sufi yang agung dan kamil dalam menolak golongan ahli kebatilan yang mendakwa ketuhanan diri, mendakwa kesatuan zat makhluk dengan zat Allah, mendakwa tidak perlu melakukan syariat lagi dan sebagainya, atas nama wahdatul-wujud, padahal fahaman mereka hanyalah sekadar fahaman hulul dan ittihad yang tercela.

Imam Ibn 'Arabi berkata dalam Al-Futuhat pada bab Al-Isra':

"Sesiapa yang mendakwa akan hulul, bererti dia telah sesat. Ini kerana, orang yang berkata tentang hulul itu berpenyakit yang tidak dapat diubati. Sesiapa yang membezakan antara di antara diri kamu dengan diriNya, maka kamu telah menetapkan dirimu dan diriNya."

Imam Ibn 'Arabi berkata lagi:

"Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. itu Maha Esa menurut Ijmak itu sendiri. Adapun keesaan itu sendiri suci daripada bertempat padaNya akan sesuatu, ataupun Dia menempati sesuatu tempat, atau dia bergabung dengan sesuatu" (Al-Futuhat dan dinukilkan oleh Imam As-Sya'rani dalam Al-Yawaqit 1/80-81)

Jadi, golongan yang mendakwa diri sebagai tuhan ataupun zatnya adalah tempat zat tuhan adalah golongan yang sesat lagi menyesatkan. Golongan ini turut ditolak oleh para sufi yang berpegang dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah. Mereka tiada kaitan dengan kaum sufi yang sebenar, sama sekali.

Kesimpulan

Perbahasan berkenaan dengan wahdatul-wujud ini jika ingin didalami lebih mendalam, seperti uslub golongan mutakallimun (Al-Asya'irah) sememangnya memakan masa yang lama, dan ianya lebih membuatkan orang-orang awam tidak memahaminya dengan makna yang mudah.

Namun, artikel "Wahdatul-Wujud: Antara Kebenaran dan Kesesatan" adalah suatu kesimpulan yang mudah bagi merangkumi hampir kesemua isi perbahasan yang terkandung dalam perbahasan ini. Perbahasan ini merupakan suatu huraian semula kepada artikel tersebut, dari sudut perkembangannya dan perbezaan pendapat para ulama' mengenainya.

Namun, kami teramat bersetuju dengan pendirian guru kepada guru kami, Sheikh Abdul Qadir Isa dengan berkata:

"Kesimpulannya, ke atas setiap orang, terutamanya para sufi, pada zaman ini, agar menjauhi ungkapan-ungkapan dan ibarat-ibarat yang membawa kepada kesamaran dan keraguan agar manusia lain tidak jatuh ke lembah buruk sangka terhadap perkataan-perkataan tersebut, atau menta'wilkannya dengan ta'wilan yang salah." (haqo'iq 'ani at-tasawwuf: m/s 447)

Jadi, penulis juga tidak akan menggunakan hatta perkataan wahdatul-wujud ini dalam perbincangan tentang tasawwuf setelah ini. Perbahasan ini semata-mata sekadar suatu perbincangan ilmiah, yang berlegar antara para ulama', tentang makna wahdatul-wujud yang dinisbahkan kepada para sufi agung terdahulu. Lalu, sebahagian daripada mereka sekadar membetulkan balik apa yang dikatakan wahdatul-wujud yang dinisbahkan kepada para sufi terdahulu seperti Ibn Arabi dan sebagainya, agar masyarakat Islam tidak terlalu ghairah dalam mengkafirkan sesama muslim.

Perbincangan ini juga sekadar membuka ruang kepada para pengkaji dalam masalah ini, dengan mendedahkan beberapa perkataan ulama' sebagai perbandingan, agar mereka tahu, dalam masalah ini, bukan hanya ada suatu pendirian semata-mata, iaitu "wahdatul-wujud itu sesat", kerana masalah ini lebih luas bahkan ada yang membezakan antara yang sesat dan antara yang tidak sesat.

Perbincangan ini juga bagi menolak golongan yang bersembunyi di sebalik topeng sufi, di sebalik perkataan-perkataan para sufi yang agung, dalam masa yang sama menyebarkan fahaman sesat seperti hulul, ittihad dan mendakwa ketuhanan diri, sedangkan para sufi terdahulu, yang mereka pergunakan nama-nama mereka sendiri, berlepas tangan daripada mereka. Kita sedar, ramai musuh-musuh yang cuba merosakkan umat Islam, termasuklah mereka yang cuba bersembunyi dalam kelompok sufi, lalu menggunakan nama sufi agar mendapat tempat untuk menyebarkan fahaman mereka dalam masyarakat.

Benarlah kata sheikhu sheikhna (guru kepada guru kami) Sheikh Abdul Qadir Isa, "bahawa para sufi tidak terlibat dengan hulul, itiihad mahupun wahdatul-wujud dengan maksud tersebut (maksud hulul dan ittihad)." (ibid m/s 448).

Semoga Allah s.w.t. membantu umat Islam dalam membela agama Islam yang mulia, daripada serangan-serangan musuh Islam, samada dari luar mahupun dalam umat Islam itu sendiri, dan memberi hidayah kepada manusia agar kembali kepada jalanNya yang lurus dan hakiki.

Apa yang baik itu daripada Allah s.w.t., dan segala puji hanya kembali kepadaNya, dan apa yang kurang itu daripada kelemahan saya sendiri, dan semoga Allah s.w.t. mengampuninya.

Wallahu a'lam..

 

DiNuqilkan Oleh : Bagus Rangin ~ Kertajati-Majalengka

pucukpucuk Agan sedang membaca artikel tentang: Penjelasan Atas Perbedaan Antara Fana' dan Baqa' Dengan Ittihad dan Hulul. Silakan agan copy dan paste atau sebarluaskan artikel ini jika dinilai bermanfaat,Ane juga menyediakan buku terjemahan kitab yang membantah wahabi: 1. buku "bid'ah mahmudah dan bid'ah idhafiyah antara pendapat yang membolehkan dan yang melarang" terjemah dari kitab: albid'atul mahmudah wal bid'atul idhafiyah bainal mujiziina wal maniin" karya Syaikh abdul fattah Qudais Al Yafi"i, 2.Terjemah kitab ‘At Tabaruk Bi As Sholihin Baina Al Muzijiin wa Al Maani’in: Mencari Keberkahan Kaum Sholihin Antara Pendapat yang Membolehkan dan yang Melarang, hub admin: hp/WA 0857-5966-1085.syukron :

*** Dapatkan buku terjemah disini ***

Share this article :

Posting Komentar

Jangan lupa Tulis Saran atau Komentar Anda

 
Design Template by panjz-online | Support by creating website | Powered by Blogger