17 November 2012

Penjelasan kemuskilan dalam hadis jariyah [dimana Allah] bag 3


Hadith Al-Jariyyah jelas Diriwayatkan dengan Lafad-lafaz yang Berbeda-beda

Imam Al-Bazzar menyebutkan tentang hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وهذا قد روى نحوه بألفاظ مختلفة

: hadis ini dan semisalnya diriwayatkan dengan lafaz-lafaz yang berbeda-beda. [Kasyf Al-Astar: 1/14]

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Al-Hafiz Imam Ibn Hajar berkata tentang hadith Al-Jariyyah ini:

وفي اللفظ مخالفة كثيرة

: "Dan pada lafaz hadith ini banyak (riwayat) yang saling berbeda" [At-Talkhis Al-Habir 3/223]

Imam Al-Baihaqi juga ada menyebutkan dalam membuat komen terhadap hadith ini:

وهذا صحيح قد أخرجه مسلم مقطعا من حديث الأوزاعي وحجاج الصواف عن يحيى بن أبي كثير دون قصة الجارية؛ و أظنه إنماتركها من الحديث لاختلاف الرواة في لفظه

: "Hadith ini sahih (sanadnya) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara ringkas (dipotong nas dari keseluruhan hadith) daripada hadith Al-Auza'ie dan Hajjaj As-Showwaf daripada Yahya bin Abi Kathir tanpa kisah Al-Jariyyah, yang mana aku rasa sebab kisah Al-Jariyyah tersebut tidak diriwayatkan (oleh Imam Muslim: demikian menurut Imam Al-Baihaqi) dalam hadith tersebut karena berlakunya perbedaan dalam kalangan perawi terhadap lafaznya." [Al-Asma' wa As-Sifat m/s 422]

Dua nota utama yang dapat difahami daripada perkataan Imam Al-Baihaqi berkenaan hadith ini:-

Pertama: Menurut Imam Al-Baihaqi, naskhah sahih Muslim yang beliau miliki tidak mengandungi kisah Al-Jariyyah itu sama sekali. Beliau membuat andaian bahwasanya kemungkinan Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah tersebut karena para perawi berselisih mengenai lafaznya.

Kedua: Menurut Imam Al-Baihaqi, hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeda-beda.

Dari sudut hadith ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeda-beda pun, sudah menunjukkan lafaz hadith ini tidak boleh dijadikan suatu pegangan yang kuat apatah lagi melibatkan masalah aqidah. Sekurang-kurangnya, ia kembali kepada kaedah:

ما طرقه الاحتمال سقط به الاستدلال

: "Jika jalan-jalan periwayatan hadith itu mengandung kemungkinan, maka gugurlah "petunjuk" daripada hadith tersebut dengan sebab "kemungkinan" tersebut.

Setelah penjelasan ini juga, fahamlah kita bahwasanya kedudukan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeda-beda yang akhirnya membawa kepada hukum idthirob (kegoncangan atau perbrdaan).



Hukum Idthirab dalam Periwayatan Hadith Al-Jariyyah

Imam Ibn Sholah berkata dalam Muqoddimahnya (hal 45):

المضطرب من الحديث‏:‏ هو الذي تختلف الرواية فيه، فيرويه بعضهم على وجه، وبعضهم على وجه آخر مخالف له‏.

Mudthorib (kegoncangan) dalam hadith adalah: hadith yang berbeda riwayat mengenainya. Sebagian mereka (ahli hadith) meriwayatkannya dengan satu wajah (bentuk) sedangkan sebagian yang lain meriwayatkannya dengan wajah (bentuk atau lafaz) yang berbeda yang bertentangan dengannya (wajah pertama).



Beliau berkata lagi seterusnya:

ثم قد يقع الاضطراب في متن الحديث، وقد يقع في الإسناد...

Maksudnya: Terkadang, berlakunya idthirob dalam matan hadith, terkadang pula dalam sanad hadith. (Muqoddimah Ibn Sholah ibid)

Dengan kata lain, tidak semestinya suatu hadith itu jika diriwayatkan dengan sanad yang sahih, maka idthirob tidak boleh berlaku dalam matan hadith tersebut. Kadang-kala, hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih juga mengandungi matan yang Mudthorib sebagaimana yang berlaku dalam riwayat Imam Muslim dalam perbahasan hadith Al-Jariyyah ini yang akan diperincikan kemudian.

Imam An-Nawawi juga menyebutkan:

المضطرب : هو الذي يرو ى على أوجه مختلفة متقاربة

: Mudthorib adalah hadith yang diriwayatkan melalui banyak bentuk yang berbeda-beza yang dekat (lafaz dan maknanya). (At-Taqrib)

Apabila berlakunya pertentangan antara banyak jalan periwayatan hadith, maka berlakunya idthirob dalam hadith yang diriwayatkan tersebut sekiranya bentuk lain bagi hadith tersebut lebih kuat (ar-rajih).


Hadith Al-Jariyyah dan Tarjih

Disebabkan berlakunya pertentangan antara bentuk-bentuk hadith Al-Jariyyah melalui banyak riwayat para ahli hadith, maka ini membawa kepada keperluan kepada mentarjihkan (menguatkan) salah satu daripada beberapa bentuk dan lafaz hadith yang saling berbeda-beda tersebut.

Perlu diingat juga bahwasanya, apabila berlakunya perbedaan dan perselisihan dalam periwayatan sesuatu hadith itu sendiri, dengan pelbagai bentuknya, maka ini menunjukkan bahwasanya lafaz yang diperselisihkan tersebut mempunyai pengaruh perawi padanya, dan tidak qot'i daripada Rasulullah s.a.w.. Maka, adanya perselisihan mengenai lafaz dalam hadith ini menjadikan ketentuan hukum hadith ini sebagai zhonni ad-dilalah [tidak jelas petunjuk lafaznya].

Oleh karena itu, sebagian golongan yang terpengaruh dengan femahaman tajsim yang siang malam menulang-ulangi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz riwayat Imam Muslim untuk dijadikan pedoman dalam aqidah merupakan suatu yang tersasar jauh daripada manhaj ilmiah sebenarnya karana perkara berkenaan aqidah hanya boleh diambil daripada nas-nas yang bersifat qat'ie dari sudut at-thubut (penetapan nas tersebut) maupun ad-dilalah (petunjuk nas tersebut) yang membawa kepada ilmu, bukan zhon (keraguan).

Kembali kepada perbahasan fasal ini, tentang yang kita bincangkan lebih lanjut untuk mengkaji yang manakah "lafaz" atau bentuk hadith yang paling kuat (rajih) darip pelbagai sudut kajian.


Kajian Dari Sudut Perbandingan Riwayat dan Sanad

Jika kita perhatikan dari awal pembahasan, kita dapati bahwasanya ada dua lafaz yang utama yang saling bertentanganatau berbeza berkaitan hadith Al-Jariyyah yaitu:

Pertama: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang kalimah syahadah.

Kedua: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang di mana Allah. Versi ini juga ada dua jenis iaitu, pertama: hamba tersebut menjawab: “Di langit” dan kedua: hamba tersebut menjawab dengan isyarat tangan.

Adapun Lafaz: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah atau bertanya tentang kalimah tauhid mempunyai banyak jalan periwayatan dengan sanad yang kuat di banding riwayat pertanyaan Allah di mana.

Riwayat Pertama: Riwayat Imam Malik r.a. dalam Al-Muwatho' bab (كتاب العتاقة والولاء) :-

"Sabda Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut:

"أتشهدين أن لا إله إلا الله " ، قالت: "نعم " ، قال: "أتشهدين أني رسول الله" ، قالت:" نعم"، قال: "أتوقنين بالبعث بعد الموت" قالت: "نعم". فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أعتقها"


"Adakah kamu mengetahui bahwa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?". Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahwasanya aku adalah utusan Allah?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu beriman dengan hari kebangkitan setelah kematian?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia…".


Riwayat Kedua: Riwayat Abdul Razzak dalam Al-Mushonnaf

Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada "Atho':-

Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:



أتشهدين أن لا إله إلا الله

: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).



Riwayat Ketiga: Riwayat Al-Bazzar dalam Kasyf Al-Astar dalam 1/14:

Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a.:-

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah kamu mengakui bahwasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (hinggalakhir hadith). Begitu juga dalam Al-Bahr Az-Zakhar (11/242).



Riwayat Keempat: Riwayat Imam At-Tabrani dalam Al-Kabir 12/27 dengan jalan yang sama seperti jalan Al-Bazzar.


Riwayat Kelima: Riwayat Imam Abdul Razzak dalam Al-Musonnnaf (9/175) dengan jalan lain daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah.


Riwayat Keenam: Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Imam Ahmad (3/451) dengan jalan Imam yang sama dengan riwayat Abdul Razzak pada riwayat kelima.


Riwayat Ketujuh: Riwayat Imam Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra 7/388 dengan lafaz "siapa tuhan kamu":-

" من ربك " ، قالت : " الله ربي " ، قال : " فما دينك " ، قالت : " الإسلام " ، قال : " فمن أنا " ، قالت : " أنت رسول الله " ، قال : " أعتقها

: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan: "Siapa tuhan kamu?" Hamba tersebut menjawab: "Allah tuhanku." Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apa agamamu?". Dia menjawab: "Islam". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa aku?" Dia menjawab: "Rasulullah". Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda: "Kalau demikian, bebaskanlah dia".


Riwayat Kelapan: Al-Mas’udi meriwayatkan daripada ‘Aun daripada ‘Abdullah daripada abangnya ‘Ubaidillah daripada Saidina Abi Hurairah r.a. dengan lafaz seperti riwayat Imam Malik tadi (Tanwir Al-Hawalik m/s 707)

Begitu juga beberapa riwayat yang telah disebutkan sebelum ini melalui riwayat Imam Al-Husein bin Al-Walid meriwayatkan daripada Imam Malik daripada Ibn Syihab daripada Abaidillah daripada Saidina Abu Hurairah r.a., Ma’mar meriwayatkan juga daripada Ibn Syihab bin ‘Ubaidillah daripada seorang lelaki dari kalangan Anshar dan Al-Mas’udi meriwayatkan daripada ‘Aun daripada Abdullah daripada abangnya ‘Ubaidillah daripada Saidina Abi Hurairah r.a..

Begitu juga riwayat Imam Ibn Abdil Bar dalam At-Tamhid (9/113), Imam Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Qur’an (2/330), Imam Ibn Hajar Al-Haithami dalam Majma’ Az-Zawa’id (1/28), Imam As-Syaukani dalam Nail Al-Autar (9/151) dan Ibn Khuzaimah dalam At-Tauhid.

Demikian adalah hadith-hadith yang berkaitan dengan hadith Al-Jariyyah ini di mana lafaz kalimah syahadah atau tentang ketuhanan Allah yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. melalui banyak jalan dan sandarannya.


Adapun hadith yang berkaitan dengan aina Allah (di mana Allah) dan dijawab dengan jawapan Fis Sama’ itu cuma melalui riwayat Hilal bin Abi Maimunah sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Muslim, Imam An-Nasa’ie, Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan sebagainya. Begitu juga riwayat Imam Malik, Imam As-Syafi’e dan Imam Al-Baihaqi yang menyambungkan hadith ini kepada seseorang bernama Umar bin Al-Hakam pada peringkat sahabat sedangkan yang sebenarnya adalah Mu’awiyah bin Al-Hakam, juga melalui Hilal bin Abi Maimunah (Hilal bin Usamah). Imam Al-Bazzar menganggap kesalahan tersebut adalah suatuwaham.

Begitu juga dengan riwayat Imam Al-Baihaqi dan sebagainya melalui jalan Abu Hurairah r.a. di mana beliau meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz aina Allah tetapi tanpa menetapkan lafaz Allah fi As-Sama' (Allah di langit) oleh hamba perempuan karana ia dikatakan bisu ataupun A’jamiyyah (bukan Arab).

Bahkan, menurut Imam Al-Baihaqi juga dalam Al-Asma’ wa As-Sifat, hadith dengan jalan yang sama ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam naskhah yang beliau (Al-Baihaqi) miliki tanpa kisah Al-Jariyyah tersebut. Ini memberi femahaman kepada kita bahwasanya ada sebagian naskhah sahih Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi tidak menyebut kisah Al-Jariyyah apatah lagi lafaz Aina Allah ini.

Dari sudut sanad saja, walaupun sanad hadith Imam Muslim itu sahih (atau hasan dari sudut penilaian sebagian ulama' tentang Hilal bin Abi Maimunah yang dianggap oleh sebahagian sebagai hasan saja), namun hadis ini memiliki suatu lafaz yang terasing (tafarrud) dalam hadith Al-Jariyyah ini karana hanya melalui Hilal bin Abi Maimunah. Lebih daripada itu, Imam Al-Baihaqi menjelaskan dalam Al-Asma' wa As-Sifat bahawa Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah Al-Jariyyah dalam naskhah Sahih Muslim yang beliau miliki.

Dalam situasi pengkajian seperti ini, dari sudut sanad juga telah menunjukkan lafaz Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang kalimah syahadah lebih kuat dengan banyak jalan sanad yang berbeda.

Jika kita lihat kedudukan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz bertanyakan kalimah syahadah ini, maka kita dapati seperti berikut:-

Tobaqot As-Sohabah: Ia diriwayatkan oleh Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam r.a. (riwayat Abdul Razzak dan riwayat Imam Al-Baihaqi), Saidina Abu Hurairah r.a. dan Saidina Ibn Abbas r.a. (Al-Bazzar dan At-Tobrani).

Tobaqot At-Tabi'ien: Ia diriwayatkan oleh 'Atho' bin Yasar dan Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah yang merupakan dua perawi dari kalangan tabi'en yang dipercayai.

Tobaqot Tabi'ie At-Tabi'en: Ia diriwayatkan oleh Ibn Syihab Az-Zuhri (daripada Ubaidillah), Ibn Juraij (daripada 'Atho' bin Yasar) dan sebagainya.



Sanad hadith-hadith yang bertanya kalimah syahadah adalah sangat kuat dengan pelbagai jalan yang kuat. Maka, dari sudut sanad saja, hadith riwayat Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Abdul Razzak, Imam Al-Bazzar, Imam At-Thobrani dan Imam Al-Baihaqi ini lebih rajih di banding hadith riwayat Imam Muslim yang tersendiri secara sanadnya.

Maka, sebagian ulama’ menilai, hukum idthirob jatuh kepada matan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim walaupun sanadnya sahih, karana idthirob terkadang hanya berlaku pada matan hadith walaupun pada sanad yang sahih.

Sheikhu Sheikhna (guru kepada guru kami) Al-Muhaddith Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari berkata dalam pentarjihan hadith ini dari sudut sanad:

"Lafaz Hadith (Al-Jariyyah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini syaz (terasing daripada lafaz yang lebih rajih) lagi tertolak dengan banyak alasan. Pertama: Riwayat dengan lafaz ini bertentangan daripada hadith-hadith mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. yang lain yang menunjukkan jika seseorang datang kepada Baginda s.a.w. untuk mengetahui keislamannya, maka dia akan bertanya tentang kalimah syahadah. Jika orang tersebut membenarkannya, maka Rasulullah s.a.w. akan mengakui keislamannya." [Fath Al-Mu'in m/s 27-28 oleh Al-Allamah Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari].

Dalam kitab beliau tersebut, Al-Allamah Sheikh Abdullah Al-Ghumari menguatkan lafaz yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Abdul Razzak dan sebagainya.

Dr. Umar Abdullah Kamil ikut menghimpun pelbagai bukti termasuk dari sudut sanad bahwasanya lafaz riwayat Imam Muslim itu sebenarnya marjuh(lemah di banding lafaz-lafaz lain) dan Mudthorib (bertembung dengan yang lebih tepat). [Hadith Al-Jariyyah 7-9]

Perlu diingat bahwasanya, biarpun Sahih Muslim dipegang oleh keseluruhan para ulama' hadith sebagai kitab hadith sahih, namun seperti yang di maklum di sisi ahli hadith sendiri, kitab Sahih Muslim tidak semestinya mengandungi semua hadith yang berdarajat paling sahih di banding riwayat-riwayat lain, malah ada juga hadith-hadith di dalam Sahih Muslim yang kurang darajat kesahihannya di banding riwayat-riwayat lain walaupun tidak menjatuhkan taraf kesahihan hadith riwayat Imam Muslim tersebut.

Hal ini diakui sendiri oleh Imam Az-Zahabi (673-748 H) dalam Al-Muqizah (m/s 80) dan Al-Mizan (2/440-445), dan Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Hady As-Sari dan Tahzib At-Tahzib (5/256-261) serta Al-Hafiz Al-Hazimi (548-584 H) dalam syurut Al-A'immah Al-Khamsah (m/s: 150-184). Sheikhu Sheikhna Abdul Fattah Abu Ghuddah juga menjelaskan hal tersebut dalam tatmah Ar-Rabi'ah ke atas kitab Al-Muqizah oleh Imam Az-Zahabi.

Oleh karena itu, tidak wajar seseorang menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah dalam masalah aqidah sehingga berhempas ingin menetapkan juga Allah s.w.t. dengan "bertempat", sedangkan hadith riwayat Imam Muslim dalam bab ini, jika dinilai dari sudut sanad saja, maka itu marjuh (ada jalan lain yang lebih kuat/rajih). Bagaimana lafaz yang marjuh (ada yang lebih kuat) boleh dijadikan hujah dalam bab aqidah sedangkan itu bersifat zhonni atau syaz?



Kajian Dari Sudut Perbandingan Ad-Dilalah (Petunjuk) dalam Riwayat-riwayat Tersebut

Pembahasan tadi sudah jelas menunjukkan bahwasanya dari sudut sanad saja, lafaz hadith Aina Allah adalah marjuh. Kini, kita akan membincangkan pula dari sudut makna antara lafaz-lafaz hadith tersebut, yang mana yang lebih dekat dengan usul aqidah Islam.

Sebagaimana yang difahami daripada hadith-hadith Al-Jariyyah tersebut, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan tujuan untuk menilai apakah dia seorang yang beriman atau tidak.

Tujuan dan maksud Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Al-Jariyyah tersebut demi untuk menilai adakah hamba perempuan tersebut seorang yang perpegang dengan aqidah Islam yang murni atau bukan

Berdasarkan daripada tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. inilah, dapat kita fahami lafaz yang manakah lebih mendekati maksud tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. tersebut, yaitu untuk menilai keislamannya.



- Lafaz Aina Allah (di mana Allah) Atau Lafaz yang Bertanya Kalimah Syahadah?

- Lafaz "Aina Allah (Di Mana Allah)"

Jika kita menjadikan lafaz hadith riwayat Imam Muslim tersebut sebagai lafaz yang tetap daripada Rasulullah s.a.w., bukan daripada pengaruh perawi, maka ini tidak adil karana masih ada lagi riwayat yang lain dengan lafaz yang berbeda yang mempunyai jalan sanad yang lebih banyak dan kuat.

Namun, untuk lebih adil dalam menilai, tanpa pengaruh hawa nafsu dan kepentingan taasub kepada kesesatan, kita juga sewajarnya menilai lafaz dalam matan Imam Muslim dan membandingkannya dengan lafaz-lafaz yang lain bagi sampai kepada kehendak pertanyaan Rasulullah s.a.w. tersebut.


Persoalannya, adakah pertanyaan "di mana Allah" membawa kepada tauhid ataupun menetapkan "Allah di atas langit" itu sesuatu yang membedakan antara Islam dengan pegangan jahiliyyah orang Arab musyrik pada masa itu?



Imam Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari menjelaskan bahwasanya:

"Sesungguhnya Nabi s.a.w. menjelaskan rukun-rukun Iman dalam hadith Jibril (Sahih Al-Bukhari) menyebut: "Iman adalah kamu beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan beriman dengan Qadha dan Qadar", lalu tidak menyebut pula aqidah bahwasanya Allah berada di atas langit.

"Sesungguhnya, aqidah Allah berada di atas langit tidak pernah menetapkan konsep tauhid sama sekali dan tidak juga menafikan syirik itu sendiri. Bagaimana Rasulullah s.a.w. mengetahui keislamannya daripada aqidah tersebut sedangkan orang-orang musyrikin pun berpegang dengan aqidah bahwa Allah berada di langit dalam masa yang sama mensyirikkan Allah dalam penyembahan mereka dengan menjadikan tuhan-tuhan di bumi." [Fath Al-Mu'in: 29]

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ibn 'Utbah (atau Ibn 'Ubaid) yang musyrik: "Berapa tuhan yang kamu sembah?". Dia menjawab: "Enam tuhan di bumi dan satu tuhan di langit" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Huzaimah).

Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil berkata: "Bukankah ada golongan yang menyembah bulan, bintang, matahari dan sebagainya yang berada di langit? Maka, kepercayaan tuhan di langit tidak membawa kepada penilaian keislaman hamba sahaya itu sendiri" [hadith Al-Jariyyah: 9]

Bahkan, aqidah Fir'aun juga percaya Tuhan kepada Nabi Musa a.s. berada di langit dalam masa yang sama dia seorang kafir bahkan mendakwa ketuhanan diri. Jadi, pertanyaan di mana Allah tidak membawa kepada maksud untuk mengetahui apakah seseorang itu beriman atau tidak dan aqidah Allah di langit tidak menggambarkan keimanan atau keislaman seseorang itu sendiri.

Dari sudut ini juga sudah menjauhkan lafaz hadith riwayat Imam Muslim daripada kehendak sebenarnya pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut berbanding lafaz hadith riwayat Imam Malik dan sebagainya.

bersambung ke bag 4

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Jangan lupa Tulis Saran atau Komentar Anda